Jika PM guna wang negara selamatkan perniagaan anak
Dalam salah satu episod siri drama televisyen popular 24, presiden Amerika Syarikat, Presiden Allison Taylor (seorang wanita) digambarkan berhadapan dengan dilema yang amat berat. Anak perempuannya telah mengaku mengupah seseorang untuk membunuh seorang saksi yang telah diberi imuniti dan perlindungan oleh kerajaan.
Ada sebabnya saksi ini dibunuh. Saksi ini adalah seorang tahanan yang bertanggungjawab membunuh anak lelaki presiden. Maka adik perempuannya mahu membalas dendam atas pembunuhan abangnya. Namun, ibunya selaku presiden bukan sahaja tidak mendakwa saksi ini atas kesalahannya itu, malah memberikan imuniti kepadanya sebagai syarat beliau bekerjasama memberkas penjahat-penjahat yang lain.
Bayangkan dilema yang dihadapi Presiden Taylor? Beliau ada dua orang anak. Seorang telah mati dibunuh. Yang seorang lagi kini berhadapan hukuman bunuh atau penjara seumur hidup. Yang mati tidak boleh dihidupkan kembali namun yang hidup masih boleh dilindungi.
Yang boleh mengaitkan anak perempuan presiden dengan jenayah ini ialah sebuah pita rakaman yang merakamkan perbualan antara anak presiden itu dan orang yang mengatur pembunuhan tersebut. Sekiranya pita rakaman itu dimusnahkan, tidak ada bukti lain yang boleh membuktikan penglibatan anak perempuan presiden dalam kes tersebut.
Suami Presiden Taylor mengesyorkan agar pita rakaman itu dimusnahkan. Beliau menyaran isterinya menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk melindungi anak mereka. Lebih-lebih lagi, orang yang dibunuh itu ialah orang yang bertanggungjawab sebelumnya membunuh anak lelaki mereka.
Berdepan dengan pilihan antara tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri, dan tanggungjawab sebagai presiden yang bersumpah untuk mematuhi perlembagaan negara, yang mana patut dipilih? Mungkin situasi dramatik seperti ini tidak berlaku dalam realiti. Namun dilema seumpamanya dalam situasi yang berbeza pasti boleh berlaku.
Bayangkan seorang perdana menteri, anaknya berdepan masalah kewangan yang kritikal; perniagaannya hampir musnah dan hutangnya bertimbun. Dilihat akan si bapa akan anaknya yang muram dan sengsara, adakah si bapa selaku perdana menteri patut berdiam diri sahaja tanpa melakukan apa-apa?
Selaku perdana menteri, beliau punya kuasa dan pengaruh. Beliau boleh menggunakan sumber kewangan negara untuk menyelamatkan perniagaan anaknya. Perniagaan anaknya itu pun memang perniagaan strategik yang penting untuk negara. Walaupun ianya melibatkan anaknya sendiri, tidak salah rasanya menggunakan dana awam untuk membantunya.
Mungkin secara peribadi, perdana menteri itu mahu membiarkan anaknya merana memikul tanggungjawab kegagalan perniagaannya. Hasratnya agar undang-undang negara dipatuhi dan sumber kewangan negara tidak digunakan untuk tujuan peribadi. Namun bila isteri dan ahli-ahli keluarga yang lain turut mendesak agar bantuan diberi, mampukah ahli politik itu berpeluk tubuh berpegang pada prinsip?
Jika perdana menteri itu tetap teguh berpegang pada prinsip, beliau berdepan risiko berlakunya perpecahan dalam keluarganya sendiri. Dalam drama televisyen 24, Presiden Taylor telah dengan berberat hati menyerahkan anaknya ke pihak berkuasa. Permintaan suaminya agar bukti pita rakaman dimusnahkan tidak ditunaikan. Suaminya marah dan kecewa sehingga membuat keputusan bercerai dengan isterinya.
Menjaga kepentingan siapa?
Dialog falsafah antara Socrates dan Euthypro wajar dijadikan renungan dalam hal ini. Euthypro merupakan seorang pakar perundangan pada zaman Greek purba. Pada suatu hari, beliau terserempak dengan Socrates di perkarangan mahkamah. Tujuan Euthypro ke situ pada hari tersebut ialah untuk mendakwa ayah kandungnya sendiri atas tuduhan membunuh.
Socrates terpegun melihat akan seorang anak yang bersedia mendakwa ayahnya sendiri. Namun Euthypro berkeras bahawa tindakannya itu adalah satu tindakan yang mulia dan soleh. Maka tercetuslah dialog antara mereka akan apakah sebenarnya takrif kemuliaan dan kesolehan itu sendiri.
Socrates melontarkan pendapat bahawa kemuliaan dan kesolehan itu adalah sebahagian daripada keadilan. Namun beliau sendiri kemudiannya menyoal, adakah semua yang mulia dan soleh itu adil dan saksama?
Memang mudah untuk kita menyangkal, tidak ada yang kabur tentang apa itu sifat yang soleh dan mulia dan apa itu keadilan. Namun hakikatnya, lain orang lain pandangannya dan neraca keadilan mereka mungkin tidak sama.
Di kalangan ahli-ahli politik dan pemimpin negara, ada yang berfikir adalah adil bagi mereka menggunakan sedikit kuasa dan pengaruh untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga. Rasionalnya, setelah begitu banyak masa dan tenaga dikorbankan untuk orang lain, kenapa tidak sedikit manfaat dan habuan diambil untuk diri sendiri?
Dan jika anak-anak atau ahli-ahli terdekat keluarga yang lain terlibat dalam sedikit masalah, kenapa tidak digunakan kuasa untuk menutup masalah itu? Kenapa tidak digunakan serba sedikit harta dan instrumen kerajaan? Kenapa tidak diarahkan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan? Jika buruk imej keluarga pemimpin negara, buruk juga nama negara? Maka, bukankah ‘adil’ sekiranya imej pemimpin dan keluarganya dilindungi untuk kepentingan bersama?
Tidak mustahil inilah corak pemikiran yang ada di kalangan pemimpin-pemimpin negara. Soalnya sekarang, adakah kita mahu pemimpin yang mentalitinya seperti ini atau pemimpin seperti Presiden Allison Taylor dalam drama 24?
Sudah pasti, yang lebih baik adalah yang seperti Presiden Taylor. Namun itu watak di dunia fantasi. Realitinya bagaimana? Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui banyak mana pemimpin-pemimpin negara yang tidak teguh prinsipnya.
Kesimpulannya, barangsiapa yang merasakan pegangan prinsipnya tidak seteguh Presiden Taylor, janganlah sesekali mengimpikan apa jua jawatan politik yang melibatkan kepentingan negara. Yang sedia ada dalam kerajaan pula, jika pegangan prinsip anda juga tidak teguh, undurlah diri dengan segera sebelum bala menimpa.
[Sumber]

No comments
Post a Comment