Namewee Disoal Siasat SKMM lebih Tujuh Jam

CYBERJAYA: Pencipta lagu kontroversi, Wee Meng Chee, Jumaat disoal siasat lebih tujuh jam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung klip videonya dalam YouTube, yang mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Johor kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Wee atau lebih dikenali sebagai Namewee, yang ditemani pengurusnya Fred Wong, tiba di ibu pejabat SKMM di sini pukul 12.30 tengah hari dan selesai memberi keterangan kira-kira 8 malam.

Ketika ditemui pemberita, Wee berkata beliau diminta hadir semalam untuk memberi keterangan berhubung klip video berkenaan.

Katanya, beliau disoal siasat empat pegawai polis dan SKMM, namun enggan mendedahkan maklumat yang diberikan kepada mereka.

"Mereka tidak memberi sebarang amaran kepada saya atau mengugut saya dengan tindakan tertentu. Mereka hanya ingin mendapatkan butiran mengenai video klip yang saya hantar dan saya telah menjawab semua soalan mereka.

"Saya menjawab dengan jujur kerana saya tidak mempunyai sebab untuk berasa takut, niat saya menghantar klip video itu ialah sebagai bantahan terhadap sikap perkauman dan bukan kerana saya rasis," katanya.- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.