Mahkamah Rayuan Tetap 17 Sept Putus Permohonan Rayuan Anwar Gugurkan Kes Fitnah II

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 2 Sept - Mahkamah Rayuan telah menetapkan 17 September depan berhubung keputusan permohonan rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan kes Fitnah II terhadap beliau.

Permohonan tersebut telah difailkan oleh peguam bela Sankara Nair dua minggu lalu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Anwar telah memfailkan permohonan tersebut selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak rayuan tersebut pada 16 Ogos lalu.

Ketua Pembangkang membuat permohonan tersebut berikutan dakwaan hubungan intim antara pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan salah seorang Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif yang dilihat telah menjejas kredibiliti dan ketelusan kes itu.

Sankara ketika dihubungi Suara keadilan berkata rayuan itu dibuat selepas pihak pembelaan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar.

"Jika Mahkamah Rayuan tidak membenarkan permohonan ini, pihak kami akan merayu kes ini ke Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan permohonan rayuan ini bagi membolehkan pihak kami mengenepikan kes ini yang dianggap telah hilang kredibilitinya," ujar beliau.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan kes liwat terhadap Anwar sementara menunggu rayuan beliau berhubung keputusan mahkamah menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhannya itu.

Mohamad Zabidin membuat keputusan itu selepas mendengar hujah ketua pasukan pembelaan, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mewakili pihak pendakwaan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 20 September ini untuk menyambung semula perbicaraan.

No comments

Powered by Blogger.