2 lelaki Pakistan ditahan, temui 24 lelaki india yang dikurung

IPOH 2 Sept. – Polis menemui 24 lelaki warganegara India yang dikurung dalam sebuah rumah dan menahan dua lelaki Pakistan yang disyaki terbabit dengan kegiatan pemerdagangan orang, dalam satu serbuan di Sungai Siput, kira-kira 40km dari sini dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua mereka yang berumur 20 hingga 30-an ditemui di dalam rumah itu dalam serbuan pada pukul 12.45 tengah hari Khamis lepas, hasil maklumat orang awam.

"Ketika polis membuat serbuan, rumah itu didapati berkunci dan apabila dibuka, polis menemui 24 lelaki yang berasal dari Uttar Pradesh, India, yang dikurung dalam rumah itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki warga negara Pakistan berusia 34 dan 25 tahun di rumah itu, yang dipercayai bertanggungjawab menguruskan kesemua warganegara India itu.

Katanya, kedua-dua lelaki warga Pakistan itu direman seminggu sejak semalam, dan salah seorang daripadanya sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Katanya lagi, kesemua lelaki India itu dihantar ke Depoh Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.