Zaid, Mustafa tanding Timbalan Presiden PKR?

Oleh Staf FMT

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Dato’ Zaid Ibrahim memberi isyarat bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR pada pilihan raya parti itu pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau akan bertanding untuk jawatan itu sekiranya Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "tidak mahu jawatan itu". Khabar angin bertiup kencang Khalid akan bertanding untuk jawatan itu.

Menulis dalam blog, Zaid berkata beliau kecewa dengan perselisihan dan umpat mengumpat dalam parti itu hingga menimbulkan keinginan beliau untuk bertanding walaupun pada awal bulan lalu, beliau menyatakan tidak mahu berbuat demikian.

Beliau juga menyatakan rasa kecewa dan terperanjat dengan timbulnya perasaan tidak senang dan iri hati terhadapnya oleh ahli-ahli parti.

"Jadi saya telah membuat keputusan baru," katanya. "Jika mereka terus menyerang saya, lebih baik saya bertanding. "Alang-alang menyeluk pesakam biar sampai ke pangkal lengan," begitulah pendirian Zaid.

Jika Khalid tidak bertanding maka Zaid dijangka akan berdepan dengan Naib Presiden dan juga Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang berada di barisan hadapan untuk merebut jawatan itu.

Berkemungkinan Mustafa Kamil Ayub, seorang lagi Naib Presiden dan juga Pengerusi PKR Perak akan turut bertanding untuk jawatan itu.

Setiausaha PKR Perak, Anuar Zakaria bersama kepimpinan negeri termasuk 24 Ketua Cabang negeri itu menyatakan Mustafa Kamil merupakan seorang tokoh yang paling layak untuk menjawat timbalan presiden parti.

"Mustafa mempunyai asas kualiti kepimpinan yang cemerlang ketika beliau berada dalam parti sejak 1999.

"Sejak dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak, beliau berjaya menyelesaikan konflik dan kemelut yang melanda parti itu pada suatu ketika," katanya dalam kenyataan media semalam.

No comments

Powered by Blogger.