Pang masih Timbalan Ketua Menteri Sabah, kata Musa

KOTA KINABALU, 2 Sept — Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin, yang mengisytiharkan keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) semalam, dikekalkan dalam semua jawatannya dalam kerajaan sehingga perkara itu dibincangkan dengan semua parti komponen Barisan Nasional, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

“Saya sudah jumpa dia semalam dan buat masa ini, Datuk Peter kekal dalam kabinet negeri. Saya akan bincang dengan rakan-rakan dalam BN,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau telah menerima tawaran pang untuk meletak semua jawatan kerajaan ekoran keputusannya keluar daripada LDP itu.

Semalam, Pang yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karamunting, mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada LDP kerana tidak setuju dengan pendirian parti itu bahawa ia tidak dapat bekerjasama dengan Musa.

Mengulas lanjut, Musa berkata soal Pang keluar daripada LDP adalah urusan parti itu.

“Kita tak boleh campur hal ini, ini hal parti dia,” katanya.

Musa juga berkata terpulang kepada Pang jika beliau hendak menyertai parti komponen BN yang lain.

Ketika ditanya sama ada Pang memberitahu beliau mengenai parti mana yang ingin disertainya kerana ada laporan memetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai berkata beliau akan menyertai parti Gerakan, Musa berkata : “Saya tak tahu, mungkin juga, tetapi beliau tidak memberitahu saya.”

Mengenai kelewatan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabngsa Kota Kinabalu, Musa berkata kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada Kementerian Pengangkutan. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.