Pilihanraya di Malaysia: BN pernah kalah — Loyar Muda

31 OKT — Dua pilihanraya kecil akan berlangsung tidak lama lagi. Suara-suara biasa kedengaran lagi dengan janji yang bernilai jutaan ringgit.Kadang-kadang kita naik hairan kenapa baru sekarang baru ‘terfikir’ nak buat itu ini sedangkan ketika jadi wakil rakyat dulu tak pernah pula nak merancang buat pelbagai projek. Berbillion ringgit bakal ditaburkan, duit akan mempengaruhi fikiran dan kepercayaan rakyat.

Tetapi dunia sentiasa berubah. Pilihanraya kecil di Sibu telah membuktikan bahawa tidak semua boleh dibeli dengan duit. Malangnya, siasatan berkaitan wujudnya rasuah sewaktu kempen pilihanraya tersebut hanya tinggal bahan bacaan semata-mata.

Sistem pilihanraya di Malaysia mengamalkan single plurality system atau bahasa mudahnya ‘yang menang ambil semua’. Calon yang menang tidak perlu mendapatkan majority undi 51 peratus, cukup apabila beliau mendapat undian tertinggi maka beliau layak untuk menjadi wakil rakyat. Justeru system ini telah mengakibatkan ketirisan antara jumlah kerusi yang dimenangi serta jumlah undi yang diperolehi sewaktu pilihanraya berlangsung.

Sebagai contoh, dalam pertandingan tiga penjuru calon A barangkali mendapat undian 40 peratus manakala 30 peratus diberikan kepada calon B dan 30 peratus kepada calon C. Calon A diisytiharkan menang. Jika diperhatikan balik calon A sebenarnya mendapat undian minoriti yakni sebanyak 40 peratus sementara undi yang tidak menyokong beliau sebanyak 60 peratus, Justeru yang kedengaran di Dewan Rakyat adalah suara yang mewakili 40 peratus sahaja, sementara baki 60 peratus tidak kedengaran.

Kita hanya mengetahui akan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya tetapi saya bertuah kerana melalui proses pembelajaran undang-undang, saya dapat mengetahui bahawa jumlah kerusi yang dimenangi bukanlah bererti jumlah sokongan yang diperolehi oleh parti tersebut.

Ambil contoh pilihanraya umum 2008. Barisan Nasional memperolehi 140 kerusi sementara Pakatan Rakyat memperolehi 82 kerusi. Tetapi jumlah undi keseluruhan yang diterima oleh Barisan Nasional ialah sebanyak 4,082,411 sementara Pakatan memperolehi 3,796,464. Jika ditukar kepada peratusan, maka BN hanya mendapat 50.6 peratus undian sementara 49.4 peratus dimenangi oleh PKR. Hal begini adalah biasa berlaku di negara yang mengamalkan sistem pilihanraya sebegini.

Satu lagi contoh menarik ialah sewaktu pilihanraya 2004 apabila media begitu ‘teruja’ mewar-warkan BN memenangi kerusi di Parlimen sebanyak 90.41 peratus tetapi apabila dinilai jumlah undian, BN mendapat 63.9 peratus.

Namun, yang pasti mengejutkan ialah pada tahun 1969 di mana Parti Perikatan memenangi kerusi di Dewan Rakyat sebanyak 66 peratus tetapi hanya mendapat 49.3 peratus jumlah undian keseluruhan. Ini bererti pada tahun 1969 Parti Pembangkang sebenarnya secara ‘teknikal’ telah memenangi jumlah peratusan undi keseluruhan dengan peratusan sebanyak 50.7 peratus, rujuk: http://www.iseas.edu.sg/trends120.pdf

Apabila diteliti kembali, pada tahun 2008 BN hanya menang 1.2 peratus jumlah undian berbanding Pakatan Rakyat. Sekiranya fakta ini tidak diambil peduli oleh kerajaan maka tidak mustahil pada pilihanraya akan datang BN akan mengalami kekalahan dari segi jumlah undian apatah lagi melihat kepada faktor-faktor semasa termasuklah kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah, dasar ETP yang bertentangan dengan moral masyarakat serta jumlah pengundi muda yang akan membentuk hampir 49 peratus pengundi dalam pilihanraya akan datang, pastinya ini juga satu petanda bahawa PR boleh memenangi jumlah undian dalam pilihanraya akan datang.

Atau mungkin PR juga boleh memenangi kerusi di Dewan Rakyat? Kuasa di tangan rakyat. Rakyat yang menentukan siapa yang akan memegang tampuk kuasa kerajaan. Gunakan hak anda sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi. Perubahan hanya boleh dilakukan oleh rakyat yang sedar akan pentingnya integriti, ‘kebersihan’ dan kejujuran dalam berpolitik serta berkempen. Sepertimana yang ditekankan sebelum ini,

Tidak semua boleh dibeli dengan duit!

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments

Powered by Blogger.