Mampukah pemimpin kita bersikap sebagai pemimpin negara maju?

Matlamat ETP ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Cita-cita PM Najib untuk melihat negara mencapai sasaran itu sudah digembar gemburkan dengan meluas dan pihak yang akan membangunkan bagunan pencakar langit itu ialah PNB. Hamad Kama Piah Ketua Eksekutif PNB memberitahu media yang dana yang akan digunakan untuk pembangunan menara Warisan Merdeka itu datangnya dari sumber dalaman PNB.

Banyak pihak yang telah menentang usaha Najib untuk melaksanakan projek ini dan ada pihak yang telah mengambil tanda tangan ratusan ribu rakyat untuk menzahirkan tentangan mereka terhadap pembinaan Warisan Merdeka ini. Saya adalah kumpulan awal yang menyertai PNB sebagai pegawai kecilan tetapi saya merasakan bagaimana penat dan lelahnya kami memenuhi tuntutan kerajaan untuk menjayakan PNB itu.

Sedikit sebanyak saya tahu sikit-sikit dan menumpang berbangga dengan kejayaan PNB seperti yang kita lihat pada masa ini. PNB telah terasas diatas desakkan untuk menjayakan DEB dengan memegang ‘trustee’ bagi pihak orang Melayu dan Bumiputra dengan memegang kekayaan asset dan pelaburan bagi pihak mereka.

PNB ditugaskan untuk memegang saham-saham syarikat-syarikat awam yang berjaya dan seterusnya untuk memindahkan pegangan itu kepada orang Melayu. Itu adalah asas penubuhan PNB dan wajib diketahui oleh pemimpin dan rakyat yang berbangsa Melayu dan Peribumi kerana kesemua yang dimilikki oleh PNB itu adalah milik mereka.

Bagi saya PNB sepatutnya tidak lari dari tanggungjawab asasnya untuk menambah pegangan saham-saham dalam syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur yang mampu memberikan pulangan yang baik, yang tinggi sedikit dari kadar inflasi negara. PNB sepatutnya menumpukan kepada matlamat asasnya untuk memindahkan kekayaan ini kepada Bumiputra bagi mereka menikmati kekayaan negara melalui dividen yang diterima dari pelaburan dalam syarikat-syarikat terpilih dinegara ini.

Oleh kerana orang Melayu belum lagi berkemampuan untuk memilikki pegangan saham ini secara terus PNB sepatutnya meneruskan usaha pemindahan ini melalui Sekim Amanah Saham Nasional yang diuruskan oleh pengurus Sekim tersebut yang dikenali sebagai Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebuah anak syarikat milik penuh PNB.

Saya mendapat input yang agak banyak juga melalui email saya dan saya merasakan tentangan terhadap niat Najib untuk menunjukkan perbezaan kepimpinan beliau dengan membina menara yang tinggi ini. Untuk mencapai ketahap negara maju tidak memerlukan menara-menara yang tinggi untuk mengesahkan kemajuan negara.

Kesebelasan negara-negara Scandinavia merupakan negara dalam mana rakyat mereka merupakan rakyat yang berpendapatan yang tertinggi didunia ini, malahan pendapatan per Kapita nya adalah 25 peratus lebih tinggi dari negara-negara G-8. Di negara-negara tersebut tidak mempunyai menara-menara yang tinggi dan tidak ada tiang bendera yang tertinggi didunia. Disamping mendapat pendapatan yang tertinggi dinegara-negara tersebut pelajaran dan pendidikkan rakyatnya adalah percuma sehingga peringkat yang tertinggi.

Disana tidak ada rakyat yang sudah keluar dari university terus menanggung hutang seperti yang dialami oleh graduan-graduan kita dengan PTPTN. Anak-anak kita disini hampir kesemuanya terus menanggung hutang yang besar sebelum mereka dapat mensetabilkan kehidupan mereka. Ramai diantara graduan yang sepatutnya menggunakan pendapatan awal mereka untuk membantu ibu bapa mereka tidak kesampaian untuk membayar hutang kepada PTPTN yang selalu mendesak dengan surat-surat tutntutan yang datang setiap bulan.

Apabila hutang dengan PTPTN sudah hampir selesai ibu bapa yang mereka hendak bantu itu sudah pun terlalu tua untuk menikmati pelaburan terhadap anak-anak mereka. Inikah dia yang kita namakan sebagai sebuah negara maju?

Pemimpin-pemimpin negara-negara termaju dalam kumpulan negara Scandinavia ini menumpukan segala usaha untuk memberikan nikmat kehidupan kepada rakyat mereka. Itulah sebabnya PM dan pemimpin-pemimpin negara ini tidak dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana pemimpin mereka hanya fokus terhadap memajkan rakyat mereka. Saya percaya lebih dari 90 peratus pembaca blog saya ini tidak pernah mendengar nama PM Norway, Switzerland, Denmark dan lain-lain negara Scandinavia.

Pemimpin mereka tidak mencari nama untuk menjadi hero diarena antarabangsa tetapi hanya menumpukan kepada mentadbir negara mereka dengan baik dan sempurna. Dinegara Scandinavia tidak ada kita mendengar ‘First Lady’ mereka membelanjakan wang rakyat untuk seminar atau ‘summit’ bagi wanita pertama mereka. Tetapi negara mereka adalah negara-negara termaju dan negara-negara Scandinavia lah kelompok negara yang hampir mencapai ‘sifar rasuah’.

5 billion ringgit bukannya satu angka yang kecil. Sesiapa boleh menjadikan pelaburan jangka panjang sebagai alasan untuk melaksanakan projek ini. PNB sepatutnya kekal dengan matlamat asal untuk melabur didalam syarikat-syarikat yang berdaya saing diBursa Saham dan syarikat-syarikat besar dan maju yang tidak tersenarai diBursa Saham KL.

Jika Najib benar-benar jujur untuk menjadikan negara ini negara maju elemen yang terpenting yang wajib usahakan dengan gigih ialah untuk membina sikap atau ‘attitude’ yang betul sejajar dengan ‘attribute’ pemimpin-pemimpin dan rakyat negara maju. Terbinanya menara tertinggi didunia dinegara kita bukannya tali pengukur kepada kemajuan negara kita.

Pertamanya pemimpin sendiri mesti bersikap seperti pemimpin negara maju. Pemimpin negara maju selalunya bersifat ‘gentlman’. Jika mereka merasakan yang mereka memberikan masalah atau tidak mampu mentadbir, mereka akan bersara dan jika rakyatnya menolak kepimpinannya mereka akan berundur secara terhormat. DFalam tempuh 4 jam sahaja Gordon Brown meletakkan jawatan selapas parti buruh kalah didalam pilihanraya Britain bebrapa bulan yang lalu. Brown tidak cuba untuk kekalkan jawatan yang dipegangnya dengan melakukan helah-helah politik kerana Brown tahu jika beliau lakukan itu ianya akan memecah belahkan rakyat.

Dinegara maju pemimpin politik tidak ada yang membiarkan partinya mati untuk menyambung kekuasaan dengan menubuhkan parti baru misalnya. Margerat Thatcher meletakkan jawatan walaupun beliau menang pemilihan parti apabila Hesseltine menandingi beliau. Oleh kerana kemenangan beliau hanya kemenangan tipis maka beliau akhirnya menyerahkan jawatan beliau kepada John Major setelah menjadi PM Britain selama 11 tahun. Itu sifat pemimpin negara maju.

Sebaliknya disini pemimpin akan berusaha mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun sehinggakan sanggup membiarkan partinya mati dan membawa kesemua ahli untuk menyertai parti baru lebih dua dekad dahulu. Matlamat peribadi telah menhalalkan semua cara untuk berkuasa. Jika kita buangkan elemen moral didalam kepimpinan, mana-mana pemimpin pun boleh mengekalkan kuasa sampai bila-bila.

Justru, kita telah dan sedang melihat ‘attribute’ politik dunia ketiga masih mencengkami politik tanah air kita. Malah ada pemimpin yang telah begitu banyak melakukan kerja tidak bermoral masih ingin melaksanakan agenda peribadi untuk menguasai Putrajaya walaupun persepsi rakyat sangat buruk terhadapnya kerana turun naik mahkamah atas tuduhan-tuduhan tidak bermoral terhadapnya.

Jika dinegara-negara maju pemimpin seperti Anwar Ibrahim itu sudah lama mengundurkan diri dan memberikan laluan kepada pemimpin yang berkemampuan didalam partinya. Kalau moral diambil sebagai tonggak kepada kepimpinan Anwar memang sepatutnya hanya bersara dan carilah kerja-kerja lain yang lebih baik bagi dirinya. Selagi beliau masih menguasai PKR selagi itulah PKR akan menghadapi masalah berterusan.

Masing-masing hendak menjadi juara dan pemimpin besar negara, tetapi tidak berdaya untuk nmengekalkan keperibadian sebagai pemimpin yang bermoral. Baik dalam UMNO mahu pun PKR keadaan sangat menjolok mata. Pemimpin sepatutnya sibuk menyelesaikan masalah rakyat, tetapi sebaliknya rakyat pula yang dibebankan untuk menyelesaikan masalah yang diberikan oleh pemimpin kepada mereka.

Bak kato orang tuo-tuo dikampong sayo, ‘yang mudo buek ragam, yang tuo monahan ragam’. Tetapi didalam UMNO dan parti kelahiran darinya PKR pula, ‘yang tuo buek ragam, dan yang mudo pulak monahan ragam’.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2010/10/mampukah-pemimpin-kita-bersikap-sebagai.html

No comments

Powered by Blogger.