Isu Pasir: KJ Mula Hilang Arah

SHAH ALAM 25 Okt - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di dalam ucapan dasar di perhimpunan Agung parti itu yang menyentuh isu pasir di Selangor, dipenuhi dengan fakta salah.

Perkara ini dibangkitkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan media.

“Beliau (Khairy) seperti ahli politik yang hilang punca kerana isu pasir bukan perkara baru, baik di Selangor mahupun di Johor dan Perak. Isu kecurian pasir ini dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu di Selangor ketika di bawah Barisan Nasional,” katanya.

Namun begitu, di sebalik rungutan dan aduan dibuat oleh rakyat, kerajaan negeri yang ketika itu dipimpin bapa mertua beliau sendiri, gagal menyelesaikannya.

Menurut Faekah lagi, Khairy sepatutnya lebih risau dengan Bajet 2011 yang baru dibentangkan yang jelas sekali menunjukkan Perdana Menteri gagal untuk melihat program memperkasakan anak muda sebagai keutamaan meskipun anak muda adalah aset penting negara.

“Peruntukan RM200 juta jika dibandingkan dengan RM111 juta kepada Permata sepatutnya cukup untuk menguja YB Rembau membahaskannya di peringkat parti. Malah, YB Rembau sepatutnya lebih menumpu untuk menunaikan janji pilihan raya beliau kepada rakyat Rembau iaitu membawa perkhidmatan monorel hingga ke depan pintu rumah mereka,” sinis Faekah.

Di samping itu Faekah menegaskan, selepas Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil alih Selangor, banyak kelemahan antaranya sistem pentadbiran, amalan kecurian pasir yang menjadi perniagaan utama ahli-ahli politik, penyalahgunaan kuasa dan korupsi di kalangan ahli politik dan penjawat awam di zaman pemerintahan Umno-Barisan Nasional berjaya diatasi oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Antara usaha kerajaan Pakatan ialah menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) untuk menguruskan industri pasir bertujuan memastikan industri ini diurus dengan sistematik, berkesan dan memberi keuntungan.

Menurut Faekah lagi, hasil daripada keuntungan ini kerajaan negeri melaksanakan program-program kebajikan seperti Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Tabung Wawasan Anak Selangor (Tawas), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), bantuan anak masuk universiti dan Tabung Anak Pekerja Ladang.

” Kini terbukti Kerajaan Pakatan lebih cekap menguruskan perniagaan pasir berbanding Barisan Nasional. Sepanjang 2009, KSSB mencatatkan jualan RM30 juta dan sehingga Jun tahun ini, jualan mencatatkan RM26 juta dan RM5 juta telah disalurkan untuk membiayai MES,” katanya sambil mengakui sukar untuk membenteras aktiviti kecurian pasir, lebih-lebih lagi ia tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan.

Untuk rekod, Kerajaan Pusat sebelum ini menolak hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Polis Bantuan Negeri.

No comments

Powered by Blogger.