Bukan UMNO Sahaja Pejuang Melayu.

Perhimpunan Agong UMNO ke-61 telah melabuhkan tirainya. Pemimpin-pemimpin UMNO bermati-matian berhujah yang merekalah pejuang Melayu sebenar. Mereka berkata PAS tidak sayang bangsa Melayu. UMNO sahajalah yang mampu memperjuangkan isu-isu orang Melayu. Jika UMNO tiada lagi atas mukabumi ini maka bangsa Melayu akan turut pupus bersama pupusnya UMNO. Inilah doktrin yang dipasak oleh pemimpin UMNO kepada ahlinya dan rakyat Malaysia. Maka dilakukanlah penjenamaan semula matlamat ekuiti 30% yang telah lama gagal dicapai. Bagi meyakinkan rakyat maka dilaungkanlah agenda yang hebat-hebat seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), 8 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP) dan pelbagai lagi yang menyebabkan orang Melayu di Kempas, Galas dan Batu Sapi terlopong mendengarnya. Pemimpin UMNO tidak rasa bersalah atas kegagalan sasaran ekuiti 30% bumiputra dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB) sebaliknya menyalahkan ahli UMNO bawahan dan rakyat marhaen yang kononnya menjual projek atas kepentingan peribadi. Semua hujah-hujah dalam perhimpunan Agong UMNO ini sekadar menjustifikasikan yang UMNO masih tetap relevan walaupun jasadnya sudah busuk sampai ke perut dan nafasnya sudah sampai ke halkum.

Sebenarnya banyak usaha yang telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Bukan UMNO sahaja yang memperjuangkan isu orang-orang Melayu. Semasa negara mahu mencapai kemerdekaan, penjajah telah memberi syarat kepada UMNO yang terkandung dalam Suruhanjaya Reid bahawa jika mahu merdeka maka UMNO mesti memberi kerakyatan Jus soli tanpa syarat kepada orang-orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India. Ini bermakna bahawa masyarakat Cina dan India yang telah dibawa oleh penjajah ke negara ini untuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah akan diserap masuk sebagai warganegara secara automatik. PAS yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi pada masa itu menentang keras dasar kerakyatan Jus Soli tanpa syarat tersebut. PAS bimbang bahawa kedudukan politik orang Melayu bakal terancam dan negara terdedah kepada manipulasi mereka yang tidak setia kepada negara. PAS mahu kesetiaan mereka diuji terlebih dahulu. Mengikut Laporan Tahunan 1953, jumlah mereka yang bakal diberi sijil kerakyatan adalah 11,798 di mana 4,379 orang Melayu(37%), 4,407 orang Cina(37%), 1071 orang India (0.9 %) dan 1,932(16%) orang bangsa-bangsa lain. Kedudukan ini akan menyebabkan nisbah Melayu dan bukan Melayu menjadi 37: 63. PAS telah menghantar memorandum kepada kerajaan mencadangkan kerakyatan Jus Soli bersyarat iaitu orang-orang bukan Melayu diberi masa 15 tahun tinggal di Tanah Melayu terlebih dahulu, kemudian barulah dibenarkan untuk menjadi rakyat negara ini. Matlamat PAS adalah jelas mahu melindungi politik orang Melayu dan menjamin keselamatan negara ini. Malangnya Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa memorandum seumpama ini akan melambatkan proses kemerdekaan. UMNO tidak berfikir panjang dan akhirnya menerima sahaja kehendak penjajah terhadap dasar kerakyatan Jus Soli tanpa syarat. Peliknya selepas pilihnaraya 2008, UMNO pula berkata politik orang Melayu sudah terhakis. Soalnya siapa yang memberi ruang politik orang Melayu terhakis?

Selepas peritiwa 13 Mei 1969, politik orang Melayu kononnya telah tercabar. Di peringkat parlimen Parti-parti pembangkang DAP, PAS, Gerakan dan PPP telah mengusai 37 kerusi dan Perikatan memperolehi 76 kerusi. Perikatan telah kehilangan 2/3 majoriti dalam Parlimen. Buat pertama kalinya rusuhan kaum berlaku dalam negara. Banyak harta benda musnah dan nyawa yang melayang. Tunku Abd Rahman berpendapat rusuhan ini dirancang oleh Tun Razak untuk menjatuhkan beliau. Golongan berpendidikan tinggi seperti Tun Dr Mahathir mendesak Tunku meletakkan jawatan dan akhirnya beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pertama. Tun Razak dilantik mengantikan Tunku. Beliau menghulurkan tangan perpaduan kepada PAS untuk menyatukan politik orang Melayu yang kononnya dalam keadaan terdesak. Demi perpaduan orang Melayu dan demi melihat Islam ditegakkan, maka PAS melihat wujudnya keperluan bersama dalam Perikatan pada waktu itu. Akhirnya PAS bersama dengan Perikatan. Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia dan teraju negara berpindah kepada Tun Hussein Onn maka sikap UMNO telah berubah. PAS dilihat bukan sahabat lagi tetapi ancaman kepadanya. Ada sekumpulan ahli UMNO di Johor mahu keluar parti dan masuk PRM tetapi PAS telah berjaya memujuknya masuk PAS. Ini telah menjadi hujah kepada Tun Hussein Onn untuk menendang PAS daripada Perikatan atas tuduhan PAS mencuri ahli-ahli UMNO. Tanpa siasatan rapi, tanpa amaran , tanpa notis dan tanpa berfikir panjang UMNO telah menendang PAS daripada Perikatan. Begitulah mudahnya UMNO melafazkan cerai terhadap PAS. Lebih malang lagi, PAS pula berdepan dengan masalah perpecahan dalaman dan akhirnya kehilangan negeri Kelantan. Nasib PAS umpama habis manis, sepah dibuang. Itulah pengorbanan PAS kepada perpaduan Melayu. Tiba-tiba apabila UMNO tersepit tahun 2008 maka UMNO menuduh PAS ego tidak mahu bersama UMNO. Apa gunanya bersama UMNO kalau hanya mahu dihisap madunya sahaja.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia telah meletakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Walaupun begitu bahasa-bahasa lain boleh dituturkan dalam negara ini. Malangnya Tun Dr Mahathir telah cuba merendahkan keupayaan bahasa kebangsaan dengan melancarkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Oleh kerana subjek Sains dan Matematik merupakan subjek utama di sekolah mahupun universiti, maka dasar ini menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir. Anak-anak sekolah di luar bandar menghadapi dua masalah. Pertamanya memahami ilmu Sains dan Matematik, keduanya gagal memahami bahasa yang digunakan. Akhirnya anak-anak Melayu di luar bandar menerima kesan kemerosotan akademik hasil daripada dasar yang dianggap gila oleh Prof DiRaja Ungku Aziz. Pemuda PAS telah menyaman Kementerian Pendidikan dalam isu ini. Saudara Hasni Abas, Pengerusi Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) telah berjumpa dengan Pemuda PAS bagi membangkitkan gerakan untuk memansuhkan PPSMI pada akhir tahun 2008. Pejuang-pejuang bahasa seperti Dato A. Samad Said, Dato Hassan Ahmad, Dr Shahrir Mohd Zin , Prof Emeritus Abdullah Hassan dan ramai lagi bersama Pemuda PAS menubuhkan Gerakan Rakyat Membantah PPSMI(GMP). PAS telah mengarahkan semua ahlinya turun dalam Himpunan 100 ribu rakyat membantah dasar PPSMI pada 7hb Mac 2009 di Kuala Lumpur. Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan pimpinan utama PAS yang lain telah bersama dalam himpunan ini. Kerajaan BN tiada pilihan kecuali membatalkan dasar PPSMI. Dato A. Samad Said pernah berucap dalam program memperingati kejayaan Himpunan 100 Ribu, “ Pada mulanya saya tidak percaya tekanan politik pembangkang boleh merubah dasar PPSMI, tetapi setelah Himpunan 100 Ribu membantah PPSMI saya mulai yakin bahawa tekanan politik boleh merubah sesuatu dasar”. Seorang bekas Timbalan Ketua Polis Negara pula dalam satu pertemuan dengan ahli akademik dan bekas-bekas pegawai kerajaan pernah berkata, ” PAS lebih komited dengan bahasa kebangsaan, pemimpinnya pun banyak berbicara dalam bahasa kebangsaan. Tetapi malangnya pemimpin UMNO yang selalu menggunakan bahasa Inggeris.”

Judi merupakan suatu aktiviti yang boleh meruntuhkan ekonomi orang Melayu. PAS menentang judi sejak sekian lama. Salah satu punca kumpulan aliran agama keluar daripada UMNO dan menubuhkan PAS adalah kerana UMNO terlibat dalam loteri kebajikan. Judi sukan telah diluluskan semasa penghujung pemerintahan Tun Dr Mahathir. Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan operasi judi sukan ini. Di zaman Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Tan Sri Vincent Tan memohon pihak kerajaan membenarkan operasi judi sukan ini. Najib telah menafikan berkali-kali pemberian lesen judi sukan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn Bhd. Pada 11 Jun 2010 terdapat dokumen “Information Memorandum” telah dikeluarkan oleh Berjaya Sports Toto Malaysia Sdn Bhd di mana pada halaman 20 dokumen ini dinyatakan bahawa Ascot Sports telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan perniagaan judi sukan. Pada 12 Jun 2010 Berjaya Corp telah membuat kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia bahawa Ascot Sport Sdn Bhd telah mendapat kebenaran kerajaan untuk memperbaharui lesen judi sukan. Pemuda PAS bersama NGO yang dikenali sebagai Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dan Pakatan Rakyat(PR) telah mengugut kerajaan menarik balik lesen judi sukan. Jika pihak kerajaan berdegil maka suatu himpunan 100 Ribu rakyat di Istana Negara akan diadakan pada 3hb Julai 2010. UMNO tiada pilihan. Akhirnya UMNO Johor dan Perak mulai membantah dan pihak kerajaan tiada pilihan kecuali mengumumkan pembatalan lesen judi sukan. Tindakan PAS dan PR telah dapat menghalang operasi judi sukan dan seterusnya menyelamatkan orang-orang Melayu khususnya anak-anak muda terlibat dengan judi sukan.

Negeri Terengganu memperolehi royalti minyak 5% daripada Petronas. Sejurus selepas kerajaan PAS dan Barisan Altenatif (BA) memerintah pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Terengganu dinafikan hak royaltinya. Malah royalti telah ditukar dengan wang ehsan. Wang ini telah diserahkan kepada UMNO Bahagian untuk diuruskan. UMNO dan BN telah mewujudkan kerajaan dalam kerajaan. Mereka tidak menghormati hak demokrasi rakyat. Niatnya mudah sahaja difahami iaitu untuk membuli kerajaan negeri. Niat mereka yang busuk ini telah menyebabkan rakyat Terengganu menderita. Kelantan pula menerima nasib yang lebih dahsyat daripada Terengganu. Kelantan tidak pernah langsung menerima royalti minyak. Datuk Husam Musa, exco Kerajaan Negeri Kelantan berpendapat royalti minyak Kelantan melebihi daripada RM1 bilion. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa minyak di Kelantan telah dikeluarkan semenjak tahun 2004. Pada 1975, perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 % setahun, akan dibayar tunai dua kali setahun bagi hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya. Malangnya BN telah menafikannya. Akhirnya kedua-dua buah negeri ini telah menuntut hak mereka di mahkamah. Kelantan dan Terengganu adalah negeri majoriti orang Melayu. Kalau UMNO sayangkan Melayu, mereka tidak membuli orang Melayu di sana. PAS bersama PR mempertahankan royalti minyak Kelantan dan Terengganu sementara UMNO dan BN cuba menafikan hak royalti bagi kedua-dua negeri Melayu ini. Di manakah UMNO sebagai pejuang Melayu?

Selain daripada isu Jus soli, perpaduan Melayu, PPSMI, judi dan royalti terdapat banyak lagi isu-isu Melayu yang diperjuangkan oleh PAS. Antaranya isu biasiswa, tanah rizab Melayu, penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu, isu pertambahan kerusi Parlimen Melayu, kuota ke universiti dan banyak lagi . Walaubagaimana pun terdapat suatu isu yang lebih besar dan lebih penting yang telah diperjuangkan oleh PAS sejak dulu, kini dan selamanya iaitu isu Islam. Orang Melayu itu mulia kerana agama Islamnya. Islam membentuk keperibadian mulia umatnya. Oleh itu PAS konsisten dalam memperjuangkan isu aqidah dan keperibadian umat Islam. PAS menjadi benteng utama umat Islam di negara ini. Dalam menguatkuasakan hukuman murtad, Kerajaan Kelantan telah meluluskan Undang-undang Jenayah Syariah (ii) tahun 1993. Pada tahun 1999, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah memohon untuk membuat rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi menggubal undang-undang berkaitan murtad tetapi ditolak oleh pemimpin UMNO dan BN. Semua itu adalah untuk menyelamatkan aqidah orang-orang Melayu di negara ini. Oleh itu tidak benar kenyataan yang mengatakan PAS tidak memperjuangkan isu-isu orang Melayu, PAS tidak sayang orang Melayu, PAS tiada agenda untuk orang Melayu dan seumpamanya. Malah sejak akhir-akhir ini, PAS lebih terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu tanpa melupakan nasib orang bukan Melayu. Allah S.W.T mengingatkan hambaNya agar berlaku adil sesama umat manusia, kerana keadilan itu lebih hampir kepada ketaqwaan. Jika ada mana-mana pihak khususnya UMNO menyatakan bahawa PAS tidak memperjuangkan isu-isu orang-orang Melayu beragama Islam, maka Pemuda PAS sanggup berdebat secara terbuka dengan mereka. Janganlah hanya berani memberi persepsi salah terhadap PAS di gelanggang sendiri sahaja. Ayuh mari kita buktikan di medan terbuka, siapa pejuang dan siapa pula pengkhianat Melayu yang sebenar.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat

1 comment

Anonymous said...

Umno memang muka tak malu

Powered by Blogger.