Politik Beruk Bengkeng dan Tengku Razaleigh

ADA bloger tertentu di pihak Pakatan Rakyat yang mempertikaikan kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah di tempat proses penamaan calon semalam dan cuba mengeskploitkan keadaan kononnya berlaku sesuatu kepada pengarah pilihan kecil Galas itu. Sebenarnya mereka yang lekas menjadikan isu dengan keadaan itu sebenarnya tidak memahami dan mengenali siapa dia Tengku Razaleigh.

Mereka yang mengenalinya baru semalam akan merasa terkejut apabila beliau tidak mengiringi calon dan masuk sama ke bilik penamaan calon bersama pemimpin tertinggi BN lain. Tindakan Tengku Razaleigh itu dirasakan pelik. Tengku Razaleigh seorang yang tidak suka berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjuk kerana baginya tidak perlu berbuat begitu. Penaka orang kaya dia tidak suka menunjukkan kekayaannya. Selalunya yang cuba tonjolkan diri sebagai kaya ialah orang miskin yang ego.

Ketiadaan Tengku Razaleigh dalam bilik penamaan calon dan pulang sebelum calon diisytihar menjadi isu bagi menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena di pihak BN. Namun bagi mereka yang mengenali dan pernah mengiringi Tengku Razaleigh ke pusat penamaan calon dalam beberapa pilihan raya melibatkan dirinya sendiri sebelum ini apa yang berlaku itu bukan anih dan bukan satu keluar biasaan yang perlu diberikan perhatian.

Sebelum ini pun semasa menyerah borang pencalonannya sendiri, kekadang Tengku Razaleigh tidak hadir sendiri dan diserahkan kepada wakilnya saja. Orang perlu ingat bahawa Tengku Razaleigh adalah anak raja. Ada masanya beliau masih berdiri atas sifatnya sebagai anak raja. Walaupun pun beliau merendah, humble tetapi sesekali dia tidak akan berada dari paras bawah rakyat marhaen dan darahnya tidak akan bercampur dengan rakyat biasa walaupun digaul dan diuli berapa lama sekalipun. Kenal perangai raja?

Jadi tidak timbul dan perlu diungkitkan kalau beliau tidak bersama calon kemudian dan tidak membuat kenyataan selepas proses itu selesai. Lagipun semalam beliau bukan tidak hadir langsung, ada... berada di luar bersama pengundi. Seperkara lagi yang perlu difahami dan ditafsirkan pilihan raya Galas ini saya lihat ia bukan realistik!

Sebaliknya kalau orang hendak persoal dan mempertikaikan untuk dijadikan isu ialah mengenai bekas Timbalan Ketua Bahagian Gua Musang Saufi Deraman dan bekas Setiausaha Bahagian, Mohd Salleh. Katanya wajah mereka ini langsung tidak timbul (nampak) di sepanjang proses penamaan calon itu. Di mana-mana saja di bawah khemah BN orang bertanyakan mengenai Saufi.

Malam sebelum hari penamaan calon, pihak Umno sudah bersunggut mengenai sikap Saufi dan Salleh yang menghilang diri. Seorang rakan rapat calon BN, Abdul Aziz ketika ditemui di perkarangan rumah Tengku Razaleigh di Bukit Cekati, menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku dan menuduh Saufi tidak berterima kasih dan mengenang budi yang Umno Gua Musang lakukan kepadanya.

"Pelik orang Umno ini bila tiba giliran orang lain dia lari, tetapi masa dia bertanding cari kita sampai belakang rumah, berbeza dengan Pas. Pas bila sudah pilih calon semua sokong sepenuh hati," begitulah keluh rakan calon BN penuh kekesalan.

Kehilangan Saufi sememangnya sesuatu yang menyedihkan kepada Umno. Mungkin tidak sangat bagi Tengku Razaleigh tetapi bagi orang lain termasuk calon BN Abdul Aziz Yusuf. Saufi tidak sepatutnya menghilangkan diri dan beliau perlu memberi sokongan seperti mana orang lain memberi sokongan kepadanya untuk dua pilihan raya.

Mungkin Saufi kecewa dan sedih atas apa yang berlaku kepada dirinya. Selepas kalah beliau tidak dipedulikan oleh parti. Masalah kewangan katanya menjempitkan hidupnya. Tetapi beliau patut sedar keadaan itu bukan kerana Tengku Razaleigh ataupun Aziz. Ia adalah satu perangai atau budaya dalam Umno dan politik. Bahkan dalam mana-mana parti politik sekalipun. Bila kamu kalah, apa lagi tidak kaya dan berdarjat kamu akan dilupakan macam kucing tua saja.

Sebab itu saya bermadah mengenai perjuangan dalam politik dan memberi ingatan kepada pemainnya; "Sebaik kamu melangkah masuk dalam dunia politik kamu kena siapkan diri kamu untuk menangis bersendirian. Kamu harus membayangkan penjara dan kehinaan di depan. Kalau kamu tidak melakukan ini nescaya kamu akan kecewa dan menderita suatu hari kelak. Kita akan diusung dan dijulang bila menang dan kita akan dirembas (dinyah) bila sudah kalah."

Orang politik yang telah kalah dan tidak ada kekuatan dan pengaruh, dia umpama seekor kucing tua. Kucing ini bukan saja tidak dimandikan, di elus, makanan pun tidak lagi disediakan bahkan didoakan supaya jatuh longkang atau digilis kereta dan mati agar ia tidak menyusahkan lagi. Begitulah dalam politik. Saufi yang kalah dalam pilihan raya lalu adalah seekor kucing tua di dapur Umno.

Rajuk Saufi ini katanya sudah sampai ke kemuncak dan membimbangkan. Terdengar beliau akan mengistyharkan diri menyertai Pas menjelang hari mengundi. Katanya Pas sedia mempedulikan Saufi mengikut statusnya. Satu jawatan sudah disediakan bagi membela dan membalas budi Saufi kalau dia rela berpaling tadah.

Sekali lagi...cara Pas ini juga tidak betul. Sikap suka memberi susu kepada anak kera di hutan dan memberi air sejuk kepada anak sendiri sering kali diamalkan. Pas sedia memberi apa saja kepada orang baru menyertai partinya. Projek, balak, jawatan ... minta sajalah akan dipenuhi. Ini cara Pas. Disebabkan terlalu peduli ini menyebabkan ahli sendiri terasa hati. Paling menyedihkan budi ditabur Pas tidak pun dibalas sewajarnya. Padi yang ditanam lalang yang tumbuh.

Tenguk apa yang berlaku kepada Rosli Ibrahim. Masuk Pas, bersembahyang berjemaah dengan Tok Guru tidak sampai pun 10 kali sudah diberi berbagai imbuhan dan jawatan. Balak, senator malahan jawatan speaker pun hendak diberikan. Akhirnya apa jadi? Apakah pengorbanan Rosli di atas segala pemberian dan baik hati Pas itu? Jawablah... dan tanggung di akhirat.

Berbalik kepada kisah Saufi tadi, bagaimana pun rancangan itu tidak sempat berlaku. Katanya pucuk pimpinan Umno mengetahui dan mengambil langkah awal menghalang Saufi. Caranya seperti biasalah memberi sesuatu berbentuk kewangan. Katanya dua hari lalu beliau telah menemui Perdana Menteri, Najib Razak. Dua kali bertemu, sekali di Putrajaya dan sekali di Parlimen. Dalam pertemuan itu katanya beliau berhasil mendapat hajatnya. Najib telah menawarkan satu jawatan di sebuah agensi kerajaan yang bergaji dan berelaun.

Jadi perjuangan Saufi sudah berhasil. Dia mendapat apa yang dikehendaknya. Pancingannya sudah berjaya. Biasalah di dalam Umno dan biasa juga bagi ahlinya. Mereka akan memberi benda kepada orang terdesak dan orang terdesak pula akan meminta apa yang dikehendakinya. Inilah yang menjadi masalah kepada Umno. Perjuangan yang berlandaskan benda tidak akan kekal lama. Politik seperti ini politik beruk bengkeng.

Beruk bengkeng bila dia lapar dia akan menyerang sesiapa saja, dia akan merajuk untuk tidak naik kelapa. Tapi sesudah diberikan sesikat pisang dan air setempurung dia akan kembali tenang dan baik semula. Dia akan cepat-cepat panjat pokok nyiur semula menggugurkan nyiur. Tetapi bila dia lapar kembali dia akan mengukangi fiil haiwanannya itu.

Kalau hendak dikira Saufi sudah pun mendapat jawatan itu. Kalau beliau menuntut, tuntutan sudahpun diperolehi. Dan kalau dia boleh diibaratkan beruk bengkeng itu dia sudah pun dapat pisang. Seharusnya beliau sudah memanjat pokok nyiur semula. Tetapi malangnya sehingga kini beliau masih belum muncul-muncul lagi. Kenapa? Apakah dia kemabukan pisang sehingga tidak tahu jalan untuk kembali ke Galas? Dan sekiranya Saufi tidak juga muncul sampai akhirnya membantu Aziz, apakah relevan Najib mengulurkan nasi kepada Saufi?

Berbahagialah Mat Maslan dengan Feldanya.

http://msomelayu.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.