Projek mega megah: Setakat kerangka besi saja
Written by Azmi Anuar
Nampaknya pemimpin Malaysia memang amat gemar cuba mendirikan yang tertinggi, terbesar, terpanjang dan projek-projek lain yang mempunyai awalan 'ter', mungkin jugakah merangkumi yang tersungkur, tercemar dan terbenam?
Sejak cadangan membina menara setinggi 100 tingkat seperti yang diumumkan dalam Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen Jumaat lalu, pelbagai reaksi kedengaran dari segenap lapisan sehinggakan wujud kumpulan pro dan kontra, menyokong dan membantah projek itu dalam laman sosial Facebook. Najib berkata projek itu tidak membazir kerana ia berupaya menjana ekonomi dan membawa manfaat kepada pelbagai sektor.
RM5 billion ringgit bukan jumlah yang kecil dan Permodalan Nasional Berhad yang membiayai projek tersebut akan menggunakan dana sendiri yang dikumpul daripada keuntungan PNB sejak mula beroperasi (penubuhannya). Harap-harap memang betullah seperti yang dikatakan tetapi pengalaman lalu di Malaysia menimbulkan lebih banyak kesangsian tentang projek mega yang terbaru ini.
Cuba kita imbas kembali, salah satu projek mega yang terawal hasil buah fikiran mantan perdana menteri Malaysia yang keempat, projek Dayabumi. Ketika dilancarkan, projek itu dinyatakan akan memberi pulangan ekonomi yang lumayan kepada pelbagai sektor dan pemangkin pemindahan teknologi dari negara maju ke negara kita. Berdentumlah percikan bunga api dan bunyi kompang kedengaran pada hari pembukaan rasminya.
Lihat keadaannya pada tahun ini, 2010. Memang masih tersergam, tetapi apabila ruang pejabat kosong, sunyi ditinggalkan penghuninya setelah tamat masa bekerja, apa yang tinggal? Sebuah bangunan pencakar langit, tidak lebih dan tidak kurang. Tidak ada apa yang benar-benar boleh dibanggakan. Kerawang bermotifkan identiti tempatan? Itu sahaja? Mana tempias ekonominya?
Berapa ramai yang telah mendapat manfaat daripada projek itu? Tidak manis membuat spekulasi tetapi apa yang timbul di fikiran ialah pasti ada yang mendapat keuntungan tetapi bukan majoriti rakyat biasa.
Hanya menguntungkan lapisan atasan
Beberapa minit berjalan kaki dari bangunan Dayabumi ke arah Masjid Jamek yang bersejarah, kita akan melalui salah satu kawasan paling tua di bandaraya Kuala Lumpur. Kalau kita terus berjalan kaki menuju ke perhentian bas Puduraya, kita akan melihat satu lagi projek mega.
Projek Plaza Rakyat yang sehingga kini masih terbengkalai. Kos pembinaannya RM1.2 billion pada masa mula dilancarkan pada tahun 1992 dan besar kemungkinan telah melambung berlipat kali ganda ketika ini. Mana hasil manfaat pembinaan projek tersebut jika apa yang kelihatan hanya kerangka-kerangka besi.
Kalau benar-benar mahukan projek-projek mega memberi manfaat kepada pelbagai sektor, pihak kerajaan mesti mengambil inisiatif dan bertindak proaktif dalam usaha membangunkan projek itu semula. Janganlah biarkan kerangka-kerangka besi tadi menjadi besi buruk pula. Entah-entah memang sudah bertukar menjadi besi buruk dan kos menghidupkan semula projek tersebut memerlukan biaya yang lebih tinggi.
Siapa yang akan membiaya projek-projek ini?
Ada pendapat yang mengatakan rakyat Malaysia tidak perlu bersikap sinis terhadap projek mega seperti projek Warisan Merdeka dengan menara setinggi 100 tingkat itu. Kata penulis, setelah kontroversi berhubung projek itu reda nanti, ramai yang akan bangga dengan apa yang terhasil, tambahan pula kita mampu membinanya.
Memang kemampuan tidak menjadi masalah apabila dana yang diperlukan mencukupi. Tetapi dari mana sebenarnya datangnya dana tersebut kerana banyak projek mega diselubungi misteri. Poket mana yang semakin berisi, badan mana yang semakin montok? Tentu sekali bukan kumpulan miskin yang tegar.
Satu peratus daripada kos projek Warisan Merdeka itu sudah mencukupi untuk mengubah nasib kumpulan miskin yang benar-benar memerlukan bantuan. Pandangan bahawa projek mega akan memberi pulangan dan manfaat yang besar kepada semua golongan masih dicanang ke mana-mana. Bukan semua golongan, itu fakta yang tidak benar.
Para perancang sering menyatakan hasil dari projek-projek mega akan lambat-laun dirasai banyak kumpulan, mengikut teorinya, seperti air yang mengalir dari atas ke bawah. Tetapi, hakikatnya, aliran tidak benar-benar sampai ke bawah, sebaliknya tersekat di lapisan atas dan beralih ke kiri dan ke kanan.
Sayangkah bangunan pencakar langit?
Apabila kita melawat Menara Berkembar Petronas dan kawasan taman yang dibina di sekitarnya, apa sebenarnya yang kita perolehi? Pemandangan sekitar Kuala Lumpur penuh dengan bangunan pencakar langit. Bukit dan kawasan takungan air semula jadi bertukar wajah menjadi tapak projek-projek perumahan dan mungkin jauh di hujung sana, sebuah istana baru yang semakin tinggi kos pembinaannya.
Sedarkah para pencetus idea projek mega ini bahawa harga makanan, misalnya di medan selera di Suria KLCC dengan mudah mencecah RM10 untuk sepinggan nasi, seketul ayam dan segelas air berkarbonat. Para pengunjung tempatan ke Menara Berkembar Petronas datang dari seluruh pelosok negara tentu sekali menggeleng kepala melihat harga sebegitu.
Kadang-kadang para pengunjung bersusah-payah menyewa sebuah dua bas sekolah supaya satu kumpulan yang besar boleh melawat mercu tanda yang dikatakan kebanggaan negara. Kalau lawatan di kawasan itu hanya mengambil masa separuh haripun, mereka tentu lapar atau dahaga. Kos makanan pula memang tinggi setimpal dengan sewa dan gaji pekerja di situ.
Kos makanan dan minuman itu secara tidak langsung merupakan beban kepada rakyat yang berkunjung, bukan manfaat. RM10 bukan harga makanan harian mereka; RM10 adalah hasil titik peluh berhari-hari bekerja bertungkus lumus di bawah terik matahari. Mereka hanya dapat mendabik dada bahawa mereka telah berkunjung ke sebuah mercu tanda yang termasyhur.
Rasa bangga, itu sahaja bukan? Akan timbulkah rasa sayang dan patriotik yang meluap-luap apabila mata menatap ikon tersebut?
Itukah juga yang diharap akan berlaku apabila projek Warisan Merdeka siap kelak? Bangga? Bangga menggunakan wang rakyat kerana kita tidak tahu benarkah kos pembinaannya datang daripada dana yang telah terkumpul.
Tidak ada pula ura-ura mempamerkan secara tulus penyata kewangan atau kunci kira-kira yang terlibat. Memang tidak perlu kalau mengikut undang-undang yang sedia ada tetapi oleh kerana peristiwa-peristiwa lama yang membabitkan pelbagai projek mega, wajiblah para pendokong projek ini memberi segala butir yang lebih nyata kepada oang ramai.
Janganlah akhir-akhirnya wang orang ramai yang digunakan hanya kerana sebuah menara yang hendak dijadikan kebanggaan negara. Bangunan, menara atau dataran hanya simbol sesuatu era tetapi pemerintah yang jujur dan tulus, itulah sebenarnya kebanggaan semua.

No comments
Post a Comment