Umno: Akhir sebuah impian — Loyar Muda

Oleh Loyar Muda

Tajuk buku tulisan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider sangat meninggalkan kesan mendalam kepada para pemerhati politik tanah air khususnya yang mengambil berat tentang sebuah parti yang telah bernafas di bumi Malaysia selama 64 tahun; yang telah menikmati tampuk pemerintahan negara ini dengan kemenangan dalam setiap pilihanraya yang telah dijalankan selama 53 tahun merdeka.


Ceritanya santai; bahasa yang digunakan sungguh mudah difahami dan melalui buku ini juga pembaca dapat mengetahui di sebalik tabir sebuah parti yang bernama Umno.

Tujuan warkah ini ditulis bukanlah untuk memberi penilaian akan buku tersebut tetapi sekadar meminjam tajuk buku tersebut yang memberi seribu makna kepada para pembaca ketika ini. Ya, akhir sebuah impian.

Apakah impian tersebut? Sangat sukar untuk dicari apakah impian sebenar Umno akan tetapi eloklah kiranya kita membuat konklusi bahawa impian Umno sekarang ini sepertimana yang telah diumumkan oleh Presiden Umno baru-baru ini adalah: Mendahulukan rakyat dan mempertahankan Putrajaya.

Bercakap mengenai “mendahulukan rakyat”, pastinya ia adalah sebuah ungkapan yang cliché, sekadar memaniskan janji dan ucapan yang telah ditaburkan. Apakah itu mendahulukan rakyat? Tidaklah mahu saya menyenaraikan satu per satu tindakan parti ini yang tidak mencerminkan impian ini akan tetapi apabila bercakap mengenai “mendahulukan rakyat” bererti mendahulukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Supaya tulisan ini lebih fokus dan tidak sekadar basa-basi mari kita tumpukan kepada dua perkara.

Pertama, isu Model Ekonomi Baru. Apakah suara-suara perwakilan Umno boleh dianggap sebagai mendahulukan rakyat? Apakah desakan segelintir pihak agar mengekalkan status 30 peratus itu mewakili suara rakyat secara keseluruhan?

Saya tidak layak untuk menegur Datuk Pengerusi Tetap Umno tetapi apabila Datuk menyatakan bahawa peruntukan 30 peratus itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, saya cuba mengingati semula sekiranya perkataan 30 peratus itu tertulis dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak pasti jika versi Perlembagaan Persekutuan yang dimiliki oleh Datuk adalah versi yang berbeza tetapi biarlah saya jelaskan kepada para pembaca sekalian bahawa sebarang peruntukan kuota, peratusan pegangan dalam ekonomi, kuota dalam pendidikan, penglibatan dalam sektor awam adalah berdasarkan “such proportion as he may deem reasonable”. Siapakah “he” dalam Perlembagaan Persekutuan? Jawapan: Yang Di-Pertuan Agong.

Jelas dan tanpa perlu sebarang interpretasi yang sulit bahawa kuasa ini adalah di bawah naungan Baginda Yang-Dipertuan Agong. Hanya Baginda sahajalah yang mempunyai kuasa untuk menentukan peratusan,pegangan dan pemilikan dalam sector ekonomi,pendidikan dan perkhidmatan awam.

Maaf tetapi saya merasakan bahawa Umno tidak seharusnya cuba untuk “bypass” kuasa Baginda ini kerana ia adalah mengikut apa yang difikirkan munasabah oleh baginda. Mengapa tidak Umno meminta nasihat dan meminta kata putus daripada Yang-Dipertuan Agong berkaitan hal ini? Sekiranya kata putus datang daripada baginda sendiri maka kita sebagai seorang warganegara Malaysia mestilah taat dan berjiwa besar untuk menerima keputusan baginda tersebut.

Kedua, mendahulukan rakyat bukan bererti menganjurkan program juara rakyat semata yang hanya menyediakan program-program yang tidak relevan untuk menarik kembali hati rakyat kepada parti ini. Apa yang sangat diperlukan sekarang adalah akses dan peluang untuk menyuarakan pandangan secara langsung kepada pucuk pimpinan melalui diskusi ilmiah ataupun melalui perkembangan teknologi.

Janganlah sekadar mempunyai Facebook dan blog tetapi tidak pernah membalas komen rakyat dan sekadar berbangga dengan jumlah ahli di laman web sosial. Apa guna laman web sosial jika bukan untuk mendengar dan memberi respons terhadap masalah dan isu yang diutarakan oleh rakyat.

Kuasa referendum harus diberikan kepada rakyat untuk menentukan akta-akta yang yang dianggap “draconian” dan bakal menjadi penyumbang kepada kekalahan Umno dalam pilihanraya akan datang. Sekiranya mahu mendahulukan rakyat yang terdiri daripada generasi muda maka perlu dipermudahkan generasi ini untuk bersuara dengan menggunakan saluran yang betul.

Adakah adil pelajar kelab Umno luar Negara tidak terikat dengan sebarang akta sedangkan pelajar tempatan terikat dengan akta yang menyekat intelektual dan percambahan idea generasi muda? Adakah ini diskriminasi yang melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan?

Mendahulukan rakyat bukan bererti “mendahulukan rakyat-rakyat tertentu” tetapi ia perlu mendahulukan rakyat secara total dan menyeluruh. Mendahulukan rakyat juga bukan bererti sekadar memberi saguhati RM500 kepada “gomen” tetapi memberi RM111 juta kepada Permata Negara yang diletakkan sebagai prioriti yang lebih utama daripada kehendak dan kepentingan rakyat.

Sekarang mari kita teliti pula impian kedua Umno yakni mempertahankan Putrajaya. Dalam dunia perundangan sesuatu isu perlu mempunyai justifikasi dan motif justeru apakah motif dan justifikasi untuk mempertahankan Putrajaya?

Motif tersebut boleh terbahagi kepada dua: Bona Fide(berniat baik) atau mala fide (berniat jahat). Bona fide impian ini barangkali mahu meneruskan pembangunan, meneruskan agenda-agenda kerajaan, menjayakan dasar 1 Malaysia, menjaga dan membela kebajikan rakyat sementara mala fide impian ini juga boleh membawa erti ia sekadar mahu menjaga kepentingan sendiri, melindungi kekayaan dan kuasa sendiri yang takut dengan kekalahan sehingga matlamat menghalalkan cara yang akhirnya cara tersebut sudah tidak kenal baik atau jahat.

Apakah jika parti lain menjadi kerajaan maka agenda pembangunan dan agenda rakyat tidak dapat dilaksanakan?Apakah prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak dapat diteruskan oleh kerajaan baru? Saya serahkan kepada para pembaca untuk menilai sendiri justifikasi tersebut.

Apabila dijanjikan Model Politik Baru dalam Perhimpunan Agung yang lepas, saya mengimpikan sebuah perjuangan politik yang sederhana, yang tidak mengikut emosi dan desakan golongan tertentu yang tidak jelas tujuannya, yang bertindak mengikut kehendak dan keperluan rakyat, yang akarnya adalah rakyat sementara pohonnya adalah raja, hukum kelangsungan perjuangan itu bernafaskan Perlembagaan Persekutuan, yang tidak takut hilangnya kuasa demi keadilan dan menghormati hak rakyat, yang sedar bahawa kuasanya itu berdiri di atas dakwat undian pangkah rakyat, yang tidak menjadikan agama atau kepentingan peribadi sebagai topeng perjuangan akan tetapi merealisasikan apa yang telah dijanjikan dalam bentuk penterjemahan tindakan dan pelaksanaan. Baik buruk sesebuah perjuangan politik itu ditentukan oleh manusia yang membentuk perjuangan tersebut.

Akhir sebuah impian. Adakah ini penghujung riwayat Umno sebagai parti memerintah negara? Apakah impian ini akan menjadi impian terakhir parti yang telah berusia 64 tahun ini?

Sesungguhnya, rakyatlah yang akan menentukan survival impian tersebut!

* Loyar Muda adalah nama pena seorang pembaca The Malaysian Insider.

No comments

Powered by Blogger.