Penyokong nak demonstrasi

Oleh Norliza Wasilan dan Adnan Mohamad
bhsukan@bharian.yahoo.com

Cadang buat bantahan depan Wisma FAM tak puas hati Sathianathan kena gantung

KONTROVERSI mengenai topik B Sathianathan yang digantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kian memuncak di Kelantan – senario yang memberi gambaran pengurusan pasukan dan penyokong setia The Red Warriors sudah mula ‘mencipta rasa benci’ terhadap badan induk itu ketika saat genting menentang Negeri Sembilan di final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Rasa marah itu seperti ‘menggegar’ bumi negeri Pantai Timur itu dan terkini Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan bercadang membawa ahli kelab itu mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma FAM bagi menunjukkan sokongan kepada ketua jurulatih yang digantung dan didenda itu.

“Tindakan seperti itu seolah-olah menunjukkan wujudnya tangan-tangan ghaib yang ingin melihat moral pemain Kelantan terjejas menjelang final Sabtu ini,” kata Presiden kelab berkenaan, Marhashim Mat, semalam.

Apapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang turut kecewa dengan perkembangan ini meminta pengurusan pasukan dan penyokong setia bersabar dan memberi sokongan moral kepada pemain Kelantan sebelum final ini.

“Saya terperanjat sebab kes itu (membabitkan komen Sathia mengenai stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super, musim lalu) sudah berlaku dua atau tiga bulan lalu dan ketika kita berada di saat genting memerlukan jurulatih. Tapi tiba-tiba kami tidak dapat khidmatnya.

“Saya minta pemain bermain dengan baik, jika mereka sayang kepada presiden dan jurulatih, mereka perlu berjanji untuk menang,” katanya selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Kelantan dan Kedah di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, malam kelmarin.
Apakah, kepincangan lawan itu sesuatu yang harus melegakan Negeri Sembilan pimpinan Wan Jamak Wan Hasan yang ghairah menunggu detik final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

No comments

Powered by Blogger.