Tiada Bukti Peratusan Pengundi Tinggi Pada Hari Tidak Bekerja - SPR

SANDAKAN, 25 Okt (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada bukti yang menunjukkan peratusan pengundi yang akan keluar mengundi lebih tinggi jika pengundian bagi sesuatu pilihan raya itu diadakan pada hari tidak bekerja.

Sebaliknya, beliau berkata berdasarkan maklumat SPR, peratusan pengundian adalah lebih tinggi sekiranya pilihan raya diadakan pada hari bekerja.

"Sebagai contoh, pada pilihan raya kecil Manik Urai yang dijalankan pada hari bekerja, lebih 83 peratus pengundi keluar mengundi tetapi pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, yang diadakan pada hari tidak bekerja, peratusan keluar mengundi hanya 70 peratus," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pencalonan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Komuniti Sandakan di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pengundian untuk pilihan raya kecil Batu Sapi dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan pada 4 Nov, yang merupakan hari bekerja akan menyebabkan tidak ramai pengundi keluar mengundi. Kerajaan Kelantan mengisytiharkan tarikh itu sebagai cuti umum negeri.

"Dah banyak rekod buat hari bekerja. Tidak ada indikasi tidak ramai pengundi keluar mengundi. Kalau hari cuti, apa yang kita dapati ialah ramai penyokong parti yang hadir, bukannya pengundi," katanya.

Sementara itu, SPR menasihatkan parti politik yang bertanding untuk kedua-dua pilihan raya kecil itu supaya tidak membawa terlalu ramai penyokong untuk proses penamaan calon esok kerana ia akan mengganggu lalu lintas dan orang ramai yang tinggal di sekitar pusat pencalonan.

"Kita mahu penyokong-penyokong berhemah dan berdisplin. Sila patuhi arahan polis mengenai tempat berkumpul serta laluan yang dipilih untuk berarak," katanya.

Mengenai jumlah borang pencalonan yang dikeluarkan bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, Abdul Aziz berkata setakat ini 26 set borang pencalonan dibeli.

Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing membeli lima set, Parti Maju Sabah (tiga), Parti Bersekutu Sabah (SAPP)(dua) dan 11 set borang lagi dibeli oleh individu.

"Setakat ini hanya BN dan SAPP telah membayar wang deposit mereka," katanya.

No comments

Powered by Blogger.