Dua Calon Dekat Di Hati Rakyat Bertarung Di Galas

Oleh Mohd Razman Abdullah

GUA MUSANG, 24 Okt (Bernama) -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menyaksikan pertarungan dua calon yang dekat di hati rakyat serta berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Gua Musang.

Barisan Nasional (BN) memilih Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, perlu melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh di sini, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil 4 Nov itu.

Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namun tewas di tangan Tengku Razaleigh.

Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinan kukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkan Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

No comments

Powered by Blogger.