Pakatan yakin saingan terbaik di Batu Sapi

Harakahdaily

SANDAKAN, 27 Okt: Pakatan Rakyat yakin akan memberikan saingan yang baik dalam pilihan raya kecil Batu Sapi yang diwakili oleh Dr Ansari Abdullah dari PKR.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pertandingan tiga penjuru ini menunjukkan Pakatan Rakyat di Sabah gagah dan yakin mereka bakal menghantar wakil yang mantap ke Dewan Rakyat.

Mustafa berkata demikian dalam sidang media bersama para pemimpin Pakatan selepas penamaan calon pilihan raya kecil ini semalam.

Dalam pilihan raya ini, calon Pakatan Rakyat akan melawan calon BN dari PBS Linda Tsen Thau Lin dan Datuk Yong Teck Lee dari Parti Progresif Sabah (SAPP).

Calon bebas yang dijangka turut menyerahkan borang untuk menyertai pilihan raya ini telah menarik diri di saat akhir.

Perarakan calon PKR telah dipimpin oleh Presidennya sendiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Turut serta adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Turut serta mengiringi calon PKR, Ansari Abdullah adalah Mustafa Kamil Ayub, Tian Chua, Elizabeth Wong dan juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Muhamad Abdullah.

Dalam pada itu, pilihan raya kecil ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Sabah mengenali PKR dan Pakatan.

"Kita pakatan yang terbaik untuk menentang BN dan Sibu menjadi contoh yang terbaik dimana Pakatan Rakyat telah menjadi penanda aras," kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden PKR.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, pilihan raya ini adalah yang terbaik untuk pengundi Batu Sapi untuk menyampaikan hasrat mereka.

"Oleh itu buatlah pilihan yang bijak," katanya.

Sementara itu, calon PKR, Ansari Abdullah berkata, isu utama di Batu Sapi adalah perjuangan membela nasib 60 peratus pengundi Islam yang terpinggir, daif dan dinafikan hak mereka selama ini.

"Isu keselamatan juga terabai di sini dan mereka menjadi tidak selamat dengan kadar jenayah tertinggi di Sandakan," kata beliau.

Ansari juga berkata, gangguan bekalan air dan elektrik berlaku setiap hari di sini.
"Pihak berkuasa tempatan gagal melaksanakan tanggungjawap. Jalanraya amat teruk dan dianggap terburuk di Malaysia," dakwa beliau.

No comments

Powered by Blogger.