Semangat Pas Lebih Berkobar Dari BN Di Galas

PROSES penamaan calon pilihan raya kecil Galas baru selesai kira-kira sejam tadi. Dua calon yang diistyharkan akan bertanding pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 4 November depan mereka ialah calon BN, Abdul Aziz Yusuf, 47 dan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamad, 44. Aziz ialah bekas Pegawai Kesedar manakala Zulkefli seorang pengamal perubatan, doktor.

Ura-ura ada calon bebas yang hebuhkan akan menyibukkan pilihan raya berkenaan tidak menjadi kenyataan.

Pilihan raya ini dilihat lebih kepada pertandingan dua personaliti, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Apa lagi Aziz calon BN adalah pilihan Tengku Razaleigh dan bukan Umno Gua Musang.

Walaupun Zulkefli bukan calon Nik Aziz atau sesiapa dalam Pas, tetapi Pas lebih menggunakan 'kekeramatan' Nik Aziz untuk mempengaruhi pengundi bagi mempertahankan kerusi Galas. Realiti bahawa pertarungan personaliti ini dapat dilihat kepada permandangan sekitar bandar Gua Musang yang kini dipenuhi dengan gambar atau banner yang mempamirkan wajah Nik Aziz dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Di serata tempat wajah Tengku Razaleigh Hamzah dan Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih ketara berbanding dengan wajah dua calon berkenaan.

Seperti biasa selepas penamaan calon selesai perhatian umum kini ialah kepada peluang kedua-dua parti berkenaan. Dalam pada itu berbagai indikator cuba diketengah ataupun diterima pakai oleh berbagai pihak untuk membuat andaian awal.

Jumlah perarakan calon menunju ke pusat penamaan calon menjadi petunjuk awal. Dari sini pemerhati akan membuat ukuran parti mana yang kuat, bersemangat dan akan mendahului keadaan. Walaupun ia bukan petanda sahih namun senario ini selalunya diambil kira dan dijadikan asas.

Pada perhimpunan pagi tadi, seperti biasa Pas mendahului BN. Penyokong Pas yang mengiringi calon mereka ternyata berkali ganda berbanding dengan Umno. Dianggarkan lebih 7,000 penyokong Pas berbanding dengan penyokong BN sekitar 3,500. Paling mengkagumkan sebahagian besar mereka yang berarak terdiri daripada anak-anak muda atau mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Dari segi semangat pula jelas Pas lebih bersemangat. Pagi-pagi lagi mereka sudah berbaris di hadapan jalan besar Masjid Tengku Mohammad Faris Petra tempat permulaan perarakan. Khabarnya sejak petang semalam lagi orang Pas susah menawan masjid berkenaan dan mendiami beberapa surau untuk dijadikan markaz.

Berbeza dengan penyokong Umno yang agak lewat untuk berhimpun. Kebanyakan mereka baru sampai dari luar daerah Gua Musang. Ini berbeza dengan sebilangan besar penyokong Pas dari luar yang datang sejak petang semalam dan bermalam di Gua Musang.

Dari beberapa pandangan pemerhati tempat yang sempat dikutip mereka berpandukan kepada perarakan hari ini kedudukan 60 : 40 Pas mengatasi BN. Sejauh mana angkubah ini benar akan diulas kemudian nanti.

http://msomelayu.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.