Tahap Pengurusan Kewangan Agensi Kerajaan Meningkat Pada 2009

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Jabatan Audit Negara berkata tahap pengurusan kewangan bagi agensi kerajaan adalah lebih baik pada tahun 2009 daripada tahun sebelumnya dan peningkatan itu menunjukkan pelaksanaan sistem penarafan yang berasaskan kepada indeks akauntabiliti (IA) telah memberi dorongan kepada ketua-ketua jabatan untuk memberi lebih perhatian kepada pengurusan kewangan.

Dalam satu kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini, jabatan tersebut berkata daripada 386 agensi yang dinilai pada tahun 2009, sebanyak 47 (12.17 peratus) telah mendapat penarafan "sangat baik".

Pada tahun 2008, daripada 275 agensi yang dinilai, hanya 20 (7.27 peratus) telah mendapat penarafan "sangat baik".

Berdasarkan kepada pengauditan terhadap 382 penyata kewangan kerajaan dan agensi kerajaan pada tahun 2009, sebanyak 357 (93.5 peratus) penyata kewangan telah diberi sijil audit tanpa teguran.

Baki sebanyak penyata kewangan 25 agensi atau jabatan (6.5 peratus) telah diberi sijil audit berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya.

Penilaian itu dibuat ke atas pengurusan kewangan kementerian/jabatan/badan berkanun/pihak berkuasa tempatan/majlis agama Islam sama ada penyata kewangan disediakan secara teratur mengikut piawaian perakaunan yang diterima pakai dan memberi gambaran yang sebenar tentang kedudukan kewangan mereka.

Setiap tahun Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek Kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal aktiviti dan projek ini telah tercapai.

Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran.

Agensi yang berjaya mendapat tahap prestasi pengurusan kewangan "sangat baik" adalah seperti berikut:

Peringkat Persekutuan: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat;

Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral Dan Geosains, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Peringkat Negeri: Jabatan Bendahari Negeri Sabah, Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak, Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Sembilan, Pejabat Kewangan Negeri Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Mahkamah Syariah Negeri Melaka;

Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya, Pejabat Daerah Dan Tanah Seremban, Pejabat Daerah Kubang Pasu, Majlis Daerah Kota Marudu/Pitas, Majlis Daerah Pekan, Majlis Daerah Sipitang, Majlis Daerah Tambunan, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Sungai Petani;

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Islam Sarawak, Perbadanan Johor, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan;

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Terengganu, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Lembaga Pelabuhan Miri dan Perbadanan Pinjaman Sabah.

No comments

Powered by Blogger.