Majlis Bicara Buku dan masyarakat yang rosak

Oleh Dinsman

Berikut ini sebahagian ucapan saya di majlis Bicara Buku yang bertema “Menjana Kewarasan Minda”, di Perpustakaan Negeri Selangor, Shah Alam, 23 Februari 2011 (yang dihadiri kira-kira 200 orang).

Pertama sekali ucapan terima kasih kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), khasnya kepada Pengarahnya Puan Mastura, kerana sudi bekerjasama dengan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi), menganjurkan majlis bicara buku ini


Rasanya ini adalah satu daripada acara terbaik yang pernah dianjurkan oleh Paksi, dari segi perjalanannya yang teratur, efisien dan mendapat sambutan.

Acara lain yang saya boleh ingat sebaik ini – satu, acara seperti Hari Sastera yang kita buat bersama dengan Persatuan Nelayan Perahu Kecil di Kuala Pahang, lebih setahun yang lalu; dan satu lagi – Himpunan Seniman-Budayawan menyokong perjuangan penduduk Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur, kira-kira dua bulan lalu.

Paksi berasa sangat senang dan bertuah pagi ini dapat mengalu-alukan kehadiran semula seorang budayawan Malaysia yang sekian lama telah meninggalkan lapangan budaya kerana memberi tumpuan kepada politik, tetapi baru-baru ini dia membuat keputusan bersara dari jawatan politik, yang kita percaya antara lain dia akan kembali ke rumah budaya.

Saudara-saudara, marilah bersama-sama kita mengalau-alukan kehadiran semula Syed Husin Ali ke dalam arena budaya!

Kita percaya dan kita berharap kembalinya Syed Husin Ali ke arena budaya akan memberi kesan yang bermakna kepada perjuangan kita, khasnya perjuangan Paksi dan kelompok Budayawan Bertindak, untuk melihat seni dan budaya diberi tempat yang sewajarnya dalam kehidupan hari ini, khasnya oleh orang-orang yang memegang kuasa di dalam negara. Dan saya percaya amat tepatlah apabila buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak…” (KEBB) menjadi bahan telaah awal Syed Husin dalam perjalanan kembalinya ke rumah budaya.

Rasanya buku KEBB ini satu-satunya yang sepertinya. Maksudnya, ini himpunan tulisan mengenai kesenian dan kebudayaan oleh orang-orang yang komited dengan perjuangan budaya di negara ini, yakni budayawan-budayawan yang aktif dalam arus perkembangan masyarakat. Bukan budayawan yang pasif, yang menyerah kepada orang politik dan orang bisnes untuk menentukan corak dan arus pembangunan masyarakat. Ini kelompok budayawan yang kita panggil Budayawan Bertindak, yang dalam buku ini ada 29 orang, masing-masing menulis secara bebas apa sahaja yang mereka hendak tulis, tanpa ada sebarang panduan atau persefahaman antara sesama mereka.

29 orang budayawan dalam buku ini tidaklah bermakna hanya ada 29 orang sahaja budayawan di negara ini, yang komited dengan perjuangan seni-budaya. Ada ramai lagi mungkin selain 29 ini. Tetapi setakat tempoh waktu kami mengusahakan penerbitan buku ini, setahun yang lalu, inilah yang dapat kami kumpulkan.

Dan kami bercadang untuk meneruskan usaha ini, yakni menerbitkan “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak” yang kedua, yang mungkin lebih lengkap, sempena menyambut “Hari Kemenangan Tekad Budaya (Cultural Will)”, 7 Mac 2012 nanti.

7 Mac ialah hari rakyat Malaysia 100 ribu orang turun ke jalanraya membantah penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains-Matematik (PPSMI), dan gerakan memprotes itu dipimpin dan digerakkan oleh orang-orang budaya – Datuk Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A Samad Said, Prof Shaharir Mohd Zain, Prof Abdullah Hassan, dan orang muda dari Paksi, sdr Hasni Abas.

Saya memanggil hari itu “Hari Kemenangan Tekad Budaya” untuk menegaskan dan membuktikan bahawa masyarakat atau rakyat bukan sahaja memerlukan Political Will atau Tekad Politik apabila kita menghendaki sesuatu perubahan atau sesuatu yang baru dalam masyarakat/negara, tetapi rakyat juga perlukan kepada Cultural Will atau Tekad Budaya. Dan peristiwa 7 Mac 2009 itu buktinya.

Buku ini diterbitkan dan dilancarkan sempena kita menyambut ulangtahun yang pertama peristiwa 7 Mac itu pada tahun lalu. Maka ada satu perkara yang apabila mengingatkan peristiwa pelancaran buku ini, (di bangunan sebelah sana, auditorium muzium), ada satu rasa kecewa, rasa marah dan rasa kesal yang menyelubungi ahli-ahli jawatankuasa Paksi sejak hari itu hingga sekarang, kepada satu pihak (orang politik yang autoriti di bidang kebudayaan) yang berjanji itu dan ini untuk seni dan budaya di Selangor, tetapi sikap yang ditunjukkannya adalah tidak lebih baik daripada sikap rejim Umno/BN yang selalu kita kritik.

Minta maaflah kalau saya tersasul ke perkara yang merupakan masalah rumahtangga Paksi. Tetapi itu sebenarnya bukan masalah rumahtangga Paksi. Itu masalah rumahtangga Kerajaan Negeri Selangor, masalah rumahtangga Pakatan Rakyat, dan itu adalah sebahagian daripada perkara pokok yang dihadapi oleh para pejuang seni-budaya di negara ini hari ini.

Sekadar menyebutnya sepintas lalu sahaja. Saya samasekali tidak bertujuan untuk mengeruhkan suasana yang jernih dan segar pada pagi yang berbahagia ini. Kita lupakanlah sementara hal yang muram-durja itu, kerana bersama-sama kita juga pagi ini seorang Sasterawan Negara dari Selangor, yang terkenal dengan novelnya Naratif Ogonshoto dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Sdr Datuk Anwar Ridhwan. Beliau juga akan mengupas dan menganalisa buku KEBB dari sudut pandangannya sendiri. Dan kita juga ada buku kumpulan cerpen Ranum karya Razali Endun, yg akan turut dibicarakan.

Sebelum terlupa, saya ingin sebutkan satu perkara lagi mengenai majlis ini – majlis bicara buku, dan kadang-kadang majlis pelancaran buku. Sewaktu merancangkan majlis ini, satu perkara yang menjadi kebimbangan dan kerisauan kami, baik pihak Paksi mahupun pihak PPAS, ialah mengenai kehadiran. Takut, bimbang, kalau-kalau tak ramai orang yang hadir. Biasa berlaku, majlis pelancaran atau bicara buku hanya dihadiri oleh 20 orang, 30 orang sahaja.

Itu menunjukkan ada sesuatu yang tak betul dalam masyarakat kita. Manusia itu namanya manusia kerana ilmunya. Perkara pertama yang Tuhan buat selepas Dia cipta manusia ialah Dia mengajarkan ilmu kepada manusia. (Rujuk al-Quran surah Baqarah ayat 30-33 yang saya baca di awal ucapan). Apabila masyarakat tidak suka kepada ilmu, tidak suka kepada buku, itu ertinya ada yang rosak dalam masyarakat itu.

Tetapi alhamdulillah, dalam masyarakat kita yang rosak ini, masih ada sebahagiannya yang tidak rosak. Saya ada satu pengalaman, membuat majlis bicara buku dan pelancaran buku di sebuah masjid, di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Masjid Batu nama masjid itu. Dua bulan lalu saya lancarkan sebuah buku di situ, buku ilmiah, hasil tulisan Prof Shaharir Mohd Zain, laku 88 buah waktu itu, dan saya tinggalkan 100 buah untuk mereka jual. Sebulan kemudian semuanya habis.

Sebelum itu buku KEBB ini pun pernah dibicarakan di situ, oleh Cikgu Azmi Ab Hamid (Teras). Laku, banyak juga, saya tak ingat berapa puluh. Dan dua minggu lalu, masjid itu mengadakan pelancaran buku Dr Mujahid Yusuf, 200 buah terjual. Pengerusi masjid itu memberitahu saya, hal itu sudah menjadi satu perkara biasa di situ. Pernah dalam satu pelancaran buku, terjual sebanyak 300 buah. Sesuatu yang sangat mengagumkan.

Dan masjid itu juga adalah masjid yg pertama di dunia, membuat persembahan teater di dalam ruang solatnya.

Apa yang nak saya timbulkan di sini ialah budaya membaca buku dan budaya membeli buku itu. Masjid Batu telah berjaya menghidupkan budaya itu. Anda bayangkan kalau sebuah masjid boleh menjual 200 buah buku. Tak usah 200-lah, kita ambil 100 sahaja. Dalam negara kita ada sekitar 5,000 buah masjid, ertinya 500,000 naskah buku boleh dijual, untuk satu judul. Kita tak usah mimpilah 500 ribu itu, kita mimpikan 10 peratus sahaja daripadanya, 50 ribu naskah. Cukup! Itu melalui masjid sahaja. Kalaulah masjid-masjid mahu buat seperti apa yang dibuat oleh Masjid Batu, Permatang Pauh.

Inilah antara impian saya, dan impian Paksi. Kita harap pihak PPAS juga mahu berkongsi impian ini dengan Paksi. Dapatlah sama2 kita berusaha bagi merealisasikan impian murni ini. Dan semoga majlis bicara buku pagi ini menjadi langkah pertama kita ke arah merealisasikan impian tersebut.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

Berminat dapatkan buku Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz sila layari http://pelbagai-iklan.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.