Kerajaan tidak percaya kepada rakyat Kerdau

Harakahdaily

TEMERLOH, 27 Feb: PAS menyifatkan kerajaan Barisan Nasional Pahang hilang kepercayaan kepada masyarakat Islam di Kerdau apabila meletakkan Pegawai Agama Daerah (Kadi) di setiap masjid dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau sepanjang tempoh pilihan raya kecil berlangsung di situ.

Kedatangan pegawai agama atas arahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) itu dikatakan untuk mengawal sementara masjid yang selama ini diuruskan oleh Ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik oleh anak kariah.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu sepatutnya tidak perlu kerana penduduk telahpun melantik pegawai-pegawai agama (AJK masjid) mereka sendiri untuk menguruskan masjid-masjid tersebut.

Selain itu kata beliau tindakan itu juga memberi kesan bukan sahaja kepada masjid-masjid dalam Dun kerdau tetapi turut melibatkan orang ramai di daerah Kadi - kadi itu bertugas.

"Bayangkan dari sudut pentadbiran apabila pegawai agama di arah bertugas ke Kerdau dalam tempoh hampir dua minggu, sudah tentu tangungjawab mereka di daerah mereka bertugas akan terabai.

"Ini pastinya akan menimbulkan masalah di daerah masing-masing dan menyusahkan orang awam yang mahu berurusan dengan mereka," kata Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau dalam sidang media hari ini.

Isu pengurusan masjid dalam DUN Kerdau diambil alih sementara ekoran pilihan raya kecil mula menjadi perbualan sejak kelmarin apabila jawatankuasa masjid dimaklumkan perkara itu.

Ekoran itu, semua masjid diarahkan membatalkan program kuliah yang telah diatur sehingga selesai pilihan raya.

Bagaimanapun tiada arahan secara rasmi (bertulis) dikeluarkan. Dalam DUN Kerdau terdapat 22 buah masjid.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut mengecam tindakan BN yang masih mengunakan premis awam untuk kerja-kerja parti mereka dalam pilihan raya ini. Justeru Tuan Ibrahim mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertidak segera mengarahkan BN mengosongkan premis-premis tersebut.

"PAS memberi tempoh sehingga hari ini, kalau masih berterusan kami akan membawa perkara ini keperingkat yang lebih tinggi," kata beliau.

Kata beliau, semalam pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pihak SPR dan perkara tersebut telahpun di bangkitkan.

"Kami harap SPR jadi badan yang memastikan peraturan pilihan raya dipatuhi oleh semua pihak, supaya PRK di Kerdau ini dapat berjalan dengan licin" ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.