Bebaskan siswa dari kongkongan

Oleh Mohd Saifullah

Pilihanraya kampus sekali lagi menarik minat semua pihak bukan sahaja mahasiswa malah masyarakat umumnya. Insiden-insiden yang tidak sepatutnya berlaku di menara gading terutama di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia membuktikan ketidakmatangan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pentadbiran universiti di dalam mengendalikan pilihanraya kampus.


Mengesali insiden-insiden yang berlaku ini, pihak Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin mendesak perkara-perkara berikut:-

1. Tidak memecahbelahkan kesatuan mahasiswa dengan lebel politik melampau seperti pro-pembangkang dan pro-kerajaan. Ini akhirnya akan membawa masuk budaya politik kotor seperti yang biasa diamalkan oleh parti pemerintah dengan budaya politik ugut, politik wang dan politik takut.

2. Mahasiswa harus tidak dilihat seperti "budak sekolah" sehingga segalanya dilarang untuk dilakukan. Mahasiwa dilarang untuk adakan manifesto, sudut pidato malah adakan kempen secara berkumpulan juga dilarang akibat daripada takut yang tidak bersebab kepada gerakan mahasiswa.

3. Adalah matang jika satu jawatankuasa khas antara KPT, HEP dan pihak mahasiswa ditubuhkan bagi membincangkan format baru pelaksanaan pilihanraya kampus pada masa akan datang. Format yang terbaik yang harus dirangka adalah bagi membolehkan mahasiswa mengendalikan sendiri pilihanraya kampus mereka sendiri. Justeru itu, pihak Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya bahawa pilihanraya kampus mampu dilihat suatu medan melahir kepimpinan generasi muda melalui desakan yang dinyatakan.

*Kenyataan media oleh Mohd Saifullah Mohd Zulkifli selaku Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.