Fitnah 2: Dokumen saksi keenam tidak diberi kepada peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memanggil saksi ke enam pendakwa, iaitu ahli kimia Nor Aidora Saidun (gambar).

Beliau adalah Ketua Unit Paterniti DNA, Jabatan Kimia sejak 2008 dan menyertai Jabatan Kimia, Kementerian Sains dan Teknologi sejak 1998.

Dalam sesi soal balas sehingga tengahari tadi, pihak peguam membantah dokumen yang dibacakan saksi berkenaan kerana ia merupakan laporan saintifik yang tidak diperoleh pihak peguam.

Mahkamah juga dijangka mengetahui identiti DNA ‘lelaki Y’ yang dianalisa ahli Kimia dari Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong hari ini.

Awal pagi tadi, Dr Seah menyambung keterangannya dalam sesi soal balas buat hari ke lima.

Dr Seah semalam enggan mengakui jumlah sperma DNA lelaki Y lebih banyak ditemui pada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Peguam Anwar, Karpal Singh membuat kesimpulan Saiful seorang homoseksual pasif memandangkan lebih daripada satu sampel DNA ditemui pada pengadu itu.

Selain itu, mahkamah turut dikejutkan dengan pendedahan bahawa sampel DNA diambil dari tubuh Saiful sebelum laporan polis dibuat.

Sebelum ini, mahkamah digemparkan dengan beberapa keterangan dari Dr Seah. Antaranya borang proforma yang tidak lengkap diisi dan keterangan dalam borang tersebut yang menyatakan hanya berlaku ‘cubaan liwat’ dan oral seks’, yang mana menimbulkan persoalan.

Pakar itu sebelum ini juga mengakui tidak mengikut garis panduan antarabangsa yang ditetapkan International Society of Forensic Genetics dalam membuat analisa.

Berikut kronologi perbicaraan hari ini:

3.20 pm – Zabidin memberikan masa sehingga Jumaat untuk peguam Anwar dan pakar DNA meneliti dokumen. Aidora akan hadir semula Jumaat ini untuk disoal balas. Mahkamah ditangguhkan sehingga esok. Saksi pendakwa untuk esok belum diketahui.

3.13 pm – Ramkarpal meminta sedikit masa untuk peguam bela meneliti dokumen yang baru diterima.

3.12 pm – Menurut Aidora, kompilasi populasi yang mendapat bantahan sebelum ini diperolehi daripada perisian DNA View yang digunakan di Jabatan Kimia.

3.11 pm – Mahkamah bersidang semula. Hakim Zabidin memutuskan bantahan Karpal ditolak.

12.53 tgh – Mahkamah ditangguhkan ke jam 2.30 petang. Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah akan membuat keputusan petang nanti berkenaan bantahan itu.

12.52 tgh – Sankara juga menolak atas alasan dokumen yang digunakan Nor Aidora bukan dokumen proforma ringkas tetapi laporan saintifik yang memerlukan interpretasi pakar.

Laporan saintifik yang dibaca Aidora adalah kompilasi statistik DNA tiga mukasurat yang sepatutnya diberikan kepada peguambela lebih awal lagi.

12.49 tgh – Menurut Karpal, keterangan yang diberi Nor Aidora perlu ditolak kerana dia membaca terus daripada dokumen yang tidak diperolehi peguam bela, dan bukan sekadar menyegarkan ingatannya semata-mata.

“Dia bukan sekadar menyegarkan ingatannya. Dia merujuk kepada nota ini dan membacanya terus,” kata Karpal.

12.41 tgh – Ram Karpal mendakwa ada laporan yang dibentang Nor Aidora tidak diperolehi pasukan peguambela.
Ram Karpal memohon keterangan lisan Nor Aidora ditolak.

12.30 tgh – Menurut Nor Aidora, DNA Lelaki Y dijumpai pada berus gigi, tuala dan botol.

12.06 tgh – DPP Noorin menyoal balas Nor Aidora tentang laporan graf daripada elektroferogram.

12.03 tgh – Mahkamah bersambung semula.

11.40 tgh – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mansor Othman tiba di galeri awam.

11.41 tgh – Mahkamah ditangguhkan untuk lima belas minit.

10.55 tgh – Hadirin di mahkamah kelihatan ketawa kecil apabila Nor Aidora sendiri menawarkan bahan bukti tersebut untuk diperiksa pendakwa dan peguam bela.

Sampul D1 mengandungi sebatang berus gigi. Ia ditanda sebagai ID58. Menurut Nor Aidora, beliau mencalit bahagian bulu dan pemegang berus gigi untuk mendapatkan sampel.

10.47 pagi – DPP Noorin dan Nor Aidora menandakan bahan bukti. Sampul D mengandungi sehelai rambut di atas kertas putih ditanda sebagai ID57.

11.02 pagi – Sampul D2 mengandungi tuala ‘Good Morning’ dengan rambut. Rambut ditanda sebagai D2(a). Sampul D2 ditanda sebagai ID59. Tuala ‘Good Morning’ ditanda sebagai ID59(a). Rambut D2(a) ditanda sebagai ID60.

11.18 pagi – Sampul D3 mengandungi botol air mineral jenama ‘Cactus’. menurut Aidora, sampel DNA diambil dari bibir botol itu. Ia ditanda sebagai bahan bukti ID61.

10.36 pagi – Menurut Aidora, pada 17 July 2008 beliau menerima 4 sampul surat bertanda D, D1, D2, dan D3 daripada pegawai penyiasat, DSP Judy Blasious Pereira.

10.33 pagi – Mahkamah bersidang semula.

10.12 pagi – Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali kelihatan di luar mahkamah bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

9.35 pagi – Mahkamah ditangguhkan kerana Sankara mahu pasukan peguam Anwar diwakili Karpal Singh untuk menyoal balas Nor Aidora. Karpal Singh dilaporkan dalam perjalanan daripada satu lagi kes di Shah Alam.

9.03 pagi – Mahkamah diteruskan dengan memanggil saksi keenam pendakwa, Nor Aidora Saidun. Beliau masuk ke kandang saksi mengangkat sumpah dan memberi keterangan.

Nor Aidora merupakan Ketua Unit Paterniti DNA, Jabatan Kimia sejak 2008. Beliau menyertai Jabatan Kimia, Kementerian Sains dan Teknologi sejak 1998. Menurutnya, selama hampir 13 tahun beliau sudah mengendalikan hampir 100,000 sampel DNA.

8.53 pagi – Mahkamah mula bersidang bagi mendengar keterangan saksi ke lima, Pakar kimia dari Jabatan Kimia Dr Seah Lay Hong.

Timbalan Pendakwaraya DPP Noorin Baharuddin menyoal Dr Seah berkenaan label tarikh pada sampel B4 dan B5. Menurut Dr Seah, sampel sampai ke makmal Jabatan Kimia dalam keadaan baik. Maka, walaupun tarikh berbeza daripada laporan polis (2 hari lebih awal daripada tarikh laporan polis), Jabatan Kimia tetap menerima sampel.

No comments

Powered by Blogger.