Kerajaan Selangor nafi hapuskan kuota perumahan 30 peratus bumiputera

SHAH ALAM, 23 Feb — Kerajaan Negeri Selangor hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya menghapuskan 30 peratus kuota perumahan bagi pembeli bumiputera di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar A. Samad sebaliknya berkata kuota perumahan bumiputera di Selangor bukan hanya 30 peratus tetapi antara 30 sehingga 70 peratus berdasarkan kawasan, daerah atau mukim.

“Sekarang kami telah tubuhkan syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd bertujuan untuk bantu pemaju memasarkan stok-stok perumahan kuota bumiputera yang tidak dapat dijual oleh mereka.

“Apa yang kami juga telah lakukan ialah untuk licinkan proses pelepasan stok perumahan bumiputera yang tidak dapat dijual oleh pemaju, tetapi ini tidak bermakna pemaju boleh jual sewenang-wenangnya.

“Cuma apa yang kita lakukan supaya ia dapat dipercepat dan diperlicinkan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Iskandar berkata demikian ketika mengulas laporan media sebelum ini bahawa terdapat cadangan dikemukakan kepada kerajaan negeri berhubung pelepasan secara automatik ke atas kuota perumahan bumiputera.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mengamalkan program pelepasan secara automatik di mana selepas 50 peratus projek perumahan telah disiapkan tetapi tidak terjual kepada pembeli bumiputera, pihak pemaju boleh melepaskan 20 peratus kepada pembeli bukan bumiputera.

“Selepas 75 peratus projek siap tapi tidak dapat jual lagi kepada bumiputera, 30 peratus boleh dilepaskan. Akhirnya sampai peringkat dapat CF selepas enam bulan, barulah semua boleh dilepaskan jika tidak dapat dijual tetapi melalui satu mesyuarat atau jawatankuasa yang mesti buat keputusan tidak melebihi 14 hari,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.