Bongkak Betul TNC UPM?

TNC UPM: Tiada sebab saya perlu minta maaf

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Meskipun ditekan hebat namun Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UMP) Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan tetap berpendirian untuk tidak meminta maaf kepada pelajar yang melabelkan diri sebagai kumpulan Pro Mahasiswa.

Semalam kumpulan tersebut menggesa Mohd Fauzi agar meminta maaf secara terbuka berhubung arahan pembatalan status 33 calon termasuk kemenangan 10 pelajar kumpulan itu.

Bagaimanapun arahan tersebut telah ditarik selepas satu mesyuarat khas Jawatankuasa Induk Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) yang diadakan pagi semalam.

Difahamkan kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa berada di pentadbiran UPM sejak pagi semalam sebagai bantahan berhubung tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM yang membatalkan kesemua status kelayakan calon kumpulan itu dengan alasan berkempen secara berkumpulan.

Pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kelmarin.

Dalam khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider, Mohd Fauzi berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk meminta maaf.

“Saya tiada melakukan kesalahan, kenapa perlu minta maaf?,” jawabnya.

Keputusan menarik balik arahan tersebut diumumkan selepas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menggesa UPM agar menarik balik keputusan itu.

Sementara itu, jurucakap Pro Mahasiswa UPM Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman berkata sehingga pagi tadi UPM masih belum memberikan sebarang penjelasan berhubung arahan pembatalan status 33 ahli kumpulan itu.

Katanya, Mohd Fauzi juga tidak membuat sebarang permohonan maaf.

Bagi Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional Mohd Taufik Abdul, gesaan terhadap pentadbiran UPM akan diteruskan sehingga satu penjelasan dibuat mengenai perkara itu.

Pada pilihan raya kampus UPM, kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.

No comments

Powered by Blogger.