Sekretariat Pakatan Rakyat tumpu 5 aspek utama- Khalid Ibrahim

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat komited untuk terus memimpin dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepertimana yang telah dipersetujui dalam resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat November tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, usaha itu diteruskan melalui sekretariat bersama antara negeri Pakatan Rakyat yang bertujuan memperkukuh kerjasama, menggembeleng sumber dan kepakaran.

“Sekretariat ini akan memberikan penumpuan kepada 5 aspek utama iaitu pelaburan, kerajaan tempatan, pengurusan, pengurusan sumber air, pertanian dan pelancongan,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat yang diadakan di Ibu Pejabat Keadilan petang tadi. Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan pimpinan tertinggi KEADILAN, Pas dan Dap.

Menurut Khalid, selain usaha cemerlang mencatatkan kemasukan pelabur asing ke negara ini, Pakatan juga bersetuju menyusun strategi bersama bagi menarik lebih banyak pelabur luar dalam projek ekonomi yang dijalan di negeri-negeri berkenaan.

Tambah beliau, negeri-negeri Pakatan Rakyat juga akan memanfaatkan dana RM10 juta yang telah sumbangkan kerajaan Selangor bagi meningkatkan pelaburan di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Pada masa yang sama, Khalid berkata satu mekanisme bersama telah disepakati bagi menyalurkan berita dan penerangan kepada rakyat mengenai dasar yang di amalkan di negeri-negeri itu.

“Bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang semakin hampir, negeri-negeri Pakatan Rakyat bersetuju meningkatkan kerjasama dan perkongsian dari segi maklumat, jentera dan sumber bagi menjamin kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat di seluruh negara,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.