Helikopter Terhempas : Jenazah Dihantar Pulang Ke Kota Bharu Untuk Dikebumikan

SIBU, 12 April - Jenazah juruterbang, Kapt Sahimi Razali, yang maut dalam kejadian helikopter terhempas di Sibu semalam, dihantar pulang ke Kelantan dengan pesawat khas dari sini tengah hari ini untuk dikebumikan di kampung halamannya di Wakaf Mek Zainab, Kota Baharu.

Pesawat khas milik Sabah Air Aviation Sdn Bhd, majikan Sahimi, berlepas dari sini kira-kira 1 tengah hari. Turut serta dalam penerbangan itu ialah abang Allahyarham Mohd Bizamuddin.

Penerbangan itu akan singgah sebentar di Johor Baharu untuk mengisi minyak dan dijangka tiba di Kota Baharu pada 7 malam.

Bizamuddin ialah satu-satunya anggota keluarga allahyarham yang tiba di sini malam semalam untuk menuntut jenazah allahyarham.

Sahimi, 38, yang menyertai Sabah Air tahun lepas meninggal dunia pada kira-kira 8.30 malam semalam akibat kecederaan dalaman selepas helikopter yang dipandunya terhempas pada kira-kira 1.50 tengah hari di Dataran Sibu, di depan Wisma Sanyan.

Beliau digegaskan ke Hospital Sibu untuk menjalani pembedahan sebelum disahkan meninggal dunia pada 8.30 malam tadi.

BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.