Muhyiddin dakwa manifesto Pakatan sebagai ‘bintang dan bulan’

SIBU, 9 April — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pakatan Rakyat yang menabur janji kosong dalam manifesto untuk memancing undi pada setiap pilihan raya.

Beliau berkata slogan “ubah” atau “change” yang digunakan dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya negeri Sarawak adalah modal lapuk.

“Barisan Nasional (BN) yang melihat masa depan negara dalam perspektif yang lebih luas mahukan transformasi agar Malaysia dan Sarawak terus berkembang dan maju,” katanya pada majlis makan malam 1 Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri lebih 1,000 orang di sini malam tadi.

Pakatan Rakyat mengumumkan manifesto bertemakan “Jom Ubah Sarawak” yang menggariskan 10 dasar secara serentak di sini dan Kuching.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin (gambar) berkata, pada pilihan raya umum yang lepas, Pakatan Rakyat berjanji untuk memberi “bintang dan bulan” tetapi sehingga kini, mereka tidak melakukan apa-apa di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Sambil memberi contoh, beliau berkata manifesto Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum yang lepas termasuk memberi elaun kepada ibu-ibu tunggal, caruman takaful RM2,500 untuk warga emas dan memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran universiti.

“Semua ini tidak ditunaikan sehingga hari ini. Ini hanya satu tawaran sahaja yang tidak pernah dipenuhi,” dakwa Muhyiddin.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru penduduk di negeri ini agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis pembangkang.

“Saya berharap penduduk di negeri ini menyokong usaha yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan pelan transformasi ekonomi.

“Program-program transfromasi ini mencakupi semua bidang dan ia adalah jauh lebih besar daripada perubahan yang diuar-uarkan pihak pembangkang yang bertanding di Sarawak,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.