TV Selangor digodam lagi

SHAH ALAM: Laman sesawang Kerajaan Negeri Selangor, TV Selangor sekali lagi digodam hari ini.

Penolong Pengurus, Penerbitan Kreatif TV Selangor, Nik Ahmad Nik Mohamad Daud berkata, laman mereka disedari digodam kira-kira jam 9 pagi ini dan pihaknya telah menutupnya sementara waktu sehingga dibaik pulih.

“Laman TV Selangor dipercayai digodam pagi tadi. Laman kami telah ditampal dengan kata-kata lucah dan berita-berita palsu.

“Ini kali kedua laman kami diserang. Kali terakhir adalah pada 31 Mac lalu,” katanya lapor Malaysiakini.

Menurut Nik Ahmad, kerja-kerja membaik pulih sedang dijalankan tetapi tidak dapat memberi kepastian bila keadaan akan kembali sedia kala.

TV Selangor adalah saluran televisyen milik Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Ia mula beroperasi pada tahun 2008 selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar.

TV Selangor diwujudkan kerana mendakwa kerajaan persekutuan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) tidak memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat untuk menggunakan media miliknya seperti RTM bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat Selangor.

Ia adalah stesen milik penuh kerajaan Selangor. Namun, siarannaya hanya boleh ditonton menerusi internet kerana kerajaan Persekutuan tidak memberi lesen penyiaran kepada TV Selangor untuk memancarkan siaran menerusi gelombang UHF/VHF ataupun menerusi satelit di Selangor.

No comments

Powered by Blogger.