Taktik politik tidak terhad

Oleh RAHMAN SHAARI

Tan Sri Rahim Thamby Chik pernah memegang jawatan nombor satu dalam Pemuda UMNO. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga demikian. Ketika mereka berada di tempat tinggi itu, tidak seorang pun berjarak jauh dari Tun Dr Mahathir Mohamad. Hati mereka amat dekat dengan Perdana Menteri.

Namun, sesiapa yang mengikuti perkembangan politik UMNO dengan rapi dan teliti, pasti akan melihat bahawa hati dua tokoh Pemuda UMNO itu saling berjarak.


Sejarah telah melukiskan adanya tuduhan yang dahsyat terhadap Rahim. Tuduhan itu – biarpun tidak membawa Rahim ke penjara – menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Mengikut hukum logik biasa, sesiapa tidak dihukum, adalah tidak bersalah. Kita percaya Rahim kecewa kerana beliau kehilangan kedudukan. Dalam jangka masa agak panjang, tuduhan menimpa Anwar pula. Riuh randah seluruh negara, masing-masing membuat agakan: adakah Anwar bersalah, atau sebaliknya?

Pada masa ini, bermula 22 Mac lepas, ketika heboh kisah lelaki dalam video yang difahamkan mirip Anwar – tetapi difahamkan juga berperut buncit – muncul Rahim bersama-sama dua kawannya yang menamakan kumpulan mereka ‘Datuk T’. Datuk T ialah Datuk Tiga, kumpulan yang berusaha membuktikan bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Soalnya, sekali lagi, adakah video itu benar-benar memuatkan gambar Anwar?

Dari pandangan pihak PKR, gambar itu pastilah bukan Anwar. Wan Azizah yang tidak menontonnya, yakin itu bukan Anwar. Dari pihak lain, lain pulalah kesimpulannya. Seperti kata Datuk Zaid Ibrahim, hal ini akan diperkatakan terus. (The Star, 25 Mac). Ertinya hal ini akan berterusan begitu. Orang yang bercakap akan memberikan pandangan berbeza-beza.

Isi percakapan orang ramai ialah tentang jam Omega, tentang saiz perut – (kempis dan buncit) – tentang saiz bahagian-bahagian lain, tentang cara bergerak dan beberapa hal lagi. Semua itu menjadi polemikal. Saya sendiri ditanya sejumlah kawan dan sejumlah mantan murid: adakah video itu autentik? Pelik juga, kerana orang yang tidak menonton, bertanya kepada orang yang juga tidak menonton!

Saya lebih tertarik untuk memberikan pandangan yang mendekati makna politik. Taktik politik tidak dapat diramalkan. Namun kebenaran politik hendaklah dinilai melalui definisi politik yang berbagai-bagai. Jika satu pihak gemar menyebutkan frasa ‘fitnah jahat’, ‘kotor’, ‘jijik’ dan juga ‘konspirasi’, maka janganlah kita harap pihak satu lagi akan tergamam, lalu mengundur diri daripada landasan perancangannya. Bagi setiap pihak, landasan perancangan ialah landasan perjuangan.

Dalam usaha kita meninjau latar yang menimbulkan kes video ini, janganlah kita melupai adanya puak-puak yang jauh berbeza dalam politik. Biarlah pihak yang berada dalam satu-satu puak itu menganggap orang lain melakukan ‘fitnah jahat’ dan ‘konspirasi’. Kata Zulkifli Noordin, itu ialah istilah politik yang berkaitan dengan perkembangan dan kedudukan masing-masing. Hakikatnya adalah lain, iaitu mereka sedang dalam perlumbaan untuk berada di atas – untuk menjadi pemimpin nombor satu. Segala-gala yang kita lihat sebagai pertentangan antara baik dengan buruk adalah falasi (kepalsuan). Antara Anwar dan Rahim, dari segi politik perlumbaan, tidak timbul istilah kejahatan.

Kita boleh percaya bahawa CheguBard telah menonton video itu. (The Star, 25 Mac). Kesimpulan CheguBard ialah beliau yakin manusia dalam video itu bukan Anwar. Namun, perlu disebutkan, bahawa CheguBard (setahu saya) masih dalam PKR. Walaupun CheguBard selalu saya percayai, saya agak bimbang kalau-kalau ada pengaruh parti dalam penilaiannya itu. Jika tidak demikian, baguslah. Datin Seri Wan Azizah tidak mempunyai keinginan untuk menontonnya. Zaid Ibrahim yang berpeluang menontonnya, mengatakan beliau lebih suka jika panel bebas dari sejumlah pakar (termasuk FBI) dipanggil untuk membuat pengesahan ketulenan video itu. Cadangan Zaid tentulah baik, kerana pakar yang berkecuali akan menyatakan sesuatu lebih memuaskan.

Saya memberikan pandangan ini bukanlah kerana minat peribadi terhadap perkara seks ini. Minat saya – sama seperti minat rakyat Malaysia yang lain – telah tumpul terhadap hal ehwal seks. Ketumpulan ini disebabkan oleh keselaluan. Akhbar dan majalah amat kerap menyiarkan berita dan rencana tentang seks, demikian juga televisyen. Pada masa lepas, orang dewasa di negara kita tidak berada bersama-sama anak muda ketika hal ehwal seks disebutkan. Pada masa ini, ketika kita berada bersama-sama anak-anak (dan cucu-cucu), tiba-tiba televisyen menyebutkan permasalahan dan persoalan seks: pelacuran, perogolan, sumbang mahram, liwat dan berbagai-bagai hal.

Barangkali soal seks tidak akan menjadi terlalu heboh jika orang politik tidak memasukkannya dalam agenda dan strategi mereka. Sejarah belasan tahun lalu, yang memisahkan Anwar daripada Rahim, berasaskan persoalan seks. Saya tidak mengatakan seseorang bersalah, tetapi saya mahu menyatakan kehebohan akibat daripada tuduhan bersifat seksual. Adakah tuduhan itu berasaskan hasrat murni untuk membela kebenaran dan kebaikan? Jika itu ialah cita-cita dan hasrat pihak yang membuat tuduhan, maka kita anggap itu ialah perjuangan. Jika tidak, maka itu ialah sekadar perancangan. Tetapi, saya ulangi, bagi ahli politik, perancangan ialah perjuangan!

Jika rakyat umumnya, dan pengikut-pengikut parti politik khasnya, memahami hakikat ini, maka konflik tidak akan menjadi tajam. Dalam konteks inilah sasterawan Dr Zakaria Ali mengatakan: Serahkan politik kepada orang politik. Ada yang tidak bersetuju, dan mengatakan bahawa orang ramai yang tidak mengambil bahagian dalam politik pilihan raya hendaklah turut campur tangan dalam percaturan politik. Itu betul, tetapi orang ramai kerap terjerat dalam perangkap helah politik.

Khusus tentang video yang dikatakan melibatkan orang besar pembangkang itu, saya fikir orang ramai tidak perlu cemas dan rimas. Jika saya berpeluang berbicara akrab dengan Anwar ketika ini, saya ingin mengatakan: Eloklah Datuk Seri tidak memberikan apa-apa respons. Jika bukan gambar Anwar dalam video itu, akhirnya orang ramai akan mengatakan bukan. Pada hakikatnya, rakyat Malaysia yang mencintai negara ini tidak gemar akan pendedahan seumpama ini. Pendedahan ini – tidak kira benar atau tidak – membawa kita ke arah keaiban. Peristiwa pendedahan ini menyebabkan kumpulan politik agama (Pas) yang menyebelahi Anwar berasa silu, risau dan tersipu-sipu.

Saya merasakan tidaklah elok Anwar bangun melawan setiap tuduhan. Perlawanan itu menambahkan keadaan kacau (chaotic) politik kita yang sedia masak karbat. Sebagai contoh, apabila Anwar mengadakan sidang untuk menafikan bahawa dirinya ialah watak dalam video itu, dia bangun untuk menunjukkan bahagian perutnya. Dari segi hermeneutika, timbul makna tambahan apabila dia sanggup berdiri begitu, apatah lagi apabila Wan Azizah berlakon menunjukkan kegembiraan ketika memegang perut suaminya. (Sinar Harian, 22 Mac)

Sebagai kesimpulan, masalah video yang sedang dihebohkan kini, akan berlangsung kira-kira seminggu lagi. Itu masalah kecil, tetapi kesannya panjang kerana anak-anak muda sudah mula merasakan atau memikirkan hal ehwal seks. Bagi mereka kini, skandal seks boleh dibincangkan secara terbuka.S/H

No comments

Powered by Blogger.