PRU-13: PAS belum bincang kerusi, yakin kekal status quo

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Mei — Pakatan Rakyat (PR) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pengagihan kerusi yang akan ditandingi komponen masing-masing pada pilihan raya umum ke-13, kata seorang pemimpin PAS hari ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menjelaskan parti Islam itu mahu memberi tumpuan ke atas pemilihan pusat dan muktamar yang akan diadakan awal bulan depan terlebih dahulu.

Bagaimanapun Abdul Halim berkata, kebiasaannya parti-parti komponen PR akan mengekalkan status quo berdasarkan formula pilihan raya umum 2008.

Pada 8 Mac 2008, PAS bertanding di 66 kerusi Parlimen manakala DAP dan PKR masing-masing 47 dan 97.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri pula, PAS meletakkan calonnya di 232 kerusi, DAP (102) dan PKR (176).

Tiga tahun lalu, PR yang dianggotai PAS, PKR dan DAP berjaya menafikan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

Malah, perikatan itu berjaya merampas kerajaan negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain mengekalkan Kelantan dimenangi PAS pada 1990.

Namun, Perak dirampas semula BN setahun selepas itu ekoran tindakan tiga wakil rakyat PR melompat parti.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan sebelum Ramadan ini atau awal Oktober, dan jika tidak awal tahun depan.

“Kita belum berunding lagi, cuma arahan-arahan (pimpinan Pakatan), suruh kita selesaikan dulu di peringkat negeri, yang mana tidak selesai akan dibawa kepada perhatian kepimpinan pusat.

“Pada dasar kita ikut status quo, kita ikut kuota... kerusi ini tidak berubah dan ia akan kekal begitu,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, jika ada sebarang perubahan ia akan dirunding di peringkat pusat PR.

Ditanya mengenai tindakan Umno yang mahu meneruskan rundingan dengan PAS, Abdul Halim menjawab dengan ringkas, “Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan semua sudah tolak.”

Idea itu telah dibangkitkan beberapa kali oleh Umno.

Terbaru Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya bersedia meneruskan rundingan dengan PAS mengenai isu perpaduan Melayu.

Beliau juga berkata kedua-dua parti itu perlu menghentikan perbalahan dan duduk berbincang bagi mengelak masyarakat Melayu berpecah.

No comments

Powered by Blogger.