Umno ‘hidupkan semula’ Juara Rakyat hadapi PRU-13

ALOR SETAR, 21 Mei — Umno akan menerapkan dua elemen baru dalam fasa kedua program Juara Rakyat bermula Jun ini untuk mengukuhkan kesepaduan komponen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dianggap Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih getir.

Umno memperkenalkan program Juara Rakyat awal tahun lalu dan telah diadakan secara di seluruh negara.

Dipetik Bernama, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, elemen itu ialah ceramah yang menyentuh isu-isu semasa dan pembabitan semua parti komponen BN.

PRU-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ahmad berkata, ingatan Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden BN semalam bahawa PRU-13 dijangka getir bagi BN dan tidak seperti PRU terdahulu berikutan parti-parti lawan bertambah agresif, tepat pada masanya.

“Perubahan yang dibuat dalam program Juara Rakyat kali ini mengandungi unsur-unsur untuk menghadapi situasi getir terbabit supaya penyokong BN tidak goyah,” katanya di sini malam tadi.

Kata Ahmad, surat arahan daripada beliau bagi penganjuran program itu akan diedarkan kepada semua ketua bahagian dalam tempoh seminggu dari sekarang.

“Selepas menerima surat, saya mahu setiap bahagian menganjurkannya dengan pelbagai tema supaya Umno dilihat bergerak di seluruh negara,” katanya dan menambah ibu pejabat parti akan membantu menjayakan program daripada segi kewangan.

Mengenai ingatan Muhyiddin supaya tiada lagi pertelagahan di bahagian, Ahmad berkata, ingatan itu sangat wajar supaya semua pihak segera menyelesaikan pertelingkahan sekiranya masih belum selesai.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyamakan perkara itu dengan “cah keting” yang menjadi punca BN tewas di lima negeri pada PRU-12.

“Maaflah... perkara ini berlaku di Kedah dan tidak terkecuali Kelantan. Di Manik Urai (pilihan raya kecil 2009), kita kalah 65 undi sahaja kerana 300 ahli Umno yang tidak setuju dengan pemilihan calon tidak keluar mengundi.

“Perbuatan jatuh menjatuhkan seperti ini tidak boleh berlaku lagi dalam Umno. Jadikan kekalahan (PRU) 2008 pengalaman pahit yang sangat berharga,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.