Muktamar DPP Malaysia kali ke 52

oleh Nasrudin Hassan

1. Saban tahun menjelang muktamar PAS persis " Hari raya PAS " yang menghimpun seluruh kepimpinan dan ahli parti dari segenap peringkat menjadikan ia sebagai program tahunan yang sungguh meriah, indah dan nostalgis. Ia adalah suatu detik yang dinanti sejurus selesai muktamar lalu.

2. Benar, penantian adalah satu penyeksaan. Kemeriahan bertemu , menyulam rapi ukhuwwah antara anggota parti, bertemu, menyapa dan meluah rindu lama tidak bertemu menjadikan ia satu detik yang ditunggu. Saya sendiri merasai debarannya semakin kencang menghampiri detik tibanya waktu yang bakal melakar sejarah.

3. Sementelah hadhir ke Muktamar sebagai kapten kepada sayap pemuda, tentunya menambahkan suhu rasa dan meningkatkan skala richter pada getaran dan debaran jantung hati ini. 1001 satu rasa mahu menerjah ke dalam satu ruang jiwa dalam satu masa. Seperti mahu pecah dada menghadapi situasi ini.

4. Takut benar saya tersalah langkah dalam mengemudi bahtera besar yang bergelar "Bahtera Penyelamat" ini, terutama saat ia hentam badai jua saat mengharungi gelora besar. Apakah saya berjaya mengemudinya dengan baik atau sebaliknya, mempertaruhkan masa depan anak muda yang menganggotai parti ini, pula mempertaruhkan harapan anak muda di luar sana, yang setia menanti bahtera ini berlabuh.

5. Saya turut menyedari, di sana terlalu banyak mata yang sedang "mengenyit" sebagai menyatakan kehendak hati mereka ingin melamar pemuda PAS, namun tidak kurang juga di sana mata yang melirik sinis, curiga dan sangsi dengan keupayaan saya mengemudi bahtera ini.

6. Saya akui, bukanlah saya yang terbaik untuk menjadi kapten bahtera ini, namun saya diamanahkan untuk memikul beban dan menggalas mas'uuliah. Saya bersedia dengan penuh insaf bahawa satu tanggungjawab besar yang mesti dilunaskan. Malah, sempena muktamar ini saya sedia melapang dan membentang dada untuk dikritik dan ditegur, dinasihati dan diberi tunjuk ajar oleh muktamar.

7. Harap benar saya pada sokongan semua untuk membangunkan pemuda biar pun saya telah berikrar akan menunaikan amanah kepimpinan ini sebaik mungkin dengan seluruh keupayaan yang ada. Tentunya Allah swt menjadi sandaran dan kebergantungan saya dalam menyahut cabaran, mendepani tahaddiyat dan thabat menongkah badai.

8. Kepada rakan dan sahabat seperjuangan, hulurlah tangan kalian untuk saya gapai dan silang, agar gerak kita seiringan, menjadi saf yang kuat. Sesekali saya salah perbetulkan, lemah perkukuhkan dan kurang perkemaskan. Sementara kepada musuh, usah mengharap saya berundur jauh sekali berpaling tadah. Saya akan pertahankan risalah perjuangan hinggalah jasad ini terkujur dan melangkah derap ke tengah medan sehingga dada ini tergadah.

9. Beberapa jam sahaja lagi, saya akan membentang ucaptama Ketua pemuda PAS bagi sessi ini. Semoga Allah kurniakan petunjuk dan kekuatan kepada saya untuk menunaikan tugasan tersebut jua saya mengharapkan doa dari sahabat seperjuangan sementara musuh pasti mengharapkan sebaliknya. Insyaallah, pasti beberapa kejutan yang telah saya janjikan sebelum ini akan menggemparkan iklim politik tanahair awal pagi esok, betapa kini pemuda PAS mula mengorak langkah kentalnya ke setiap sendi anggota masyarakat. Nantikan malam ini !

10. Selamat bermuktamar. Buat seluruh rakan facebook atau anggota fan club saya ini secara rasminya saya undang untuk hadhir menunjuk sokongan anda ke muktamar pemuda PAS yang berlangsung malam ini dan esok. Samaada anda sebagai perwakilan atau pemerhati. Selamat berjuang.

No comments

Powered by Blogger.