Selepas dua tahun, liwat II memasuki pusingan akhir
Aidila Razak
Selepas hampir dua tahun, perbicaraan kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memasuki pusingan terakhir dengan pasukan pembelaan mengemukakan hujah balas penggulungan akhir pihak pendakwaan sebelum keputusan diumumkan.
Antara isu-isu yang dijangka ditimbulkan pada jawapan mereka hari ini adalah mengenai kredibiliti tiga saksi pakar pembelaan yang ‘diserang’ oleh ketua pendakwaan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden semasa penggulungannya Selasa lalu.
Yusof, yang juga Peguam Cara II Negara menyifatkan kenyataan pakar bedah ortopedik Anwar, Dr Thomas Hoogland berbentuk "spekulatif". Ini kerana kali terakhir doktor tulang belakang dari Belanda memeriksa tertuduh adalah pada tahun 2005 dan beliau tidak dapat benar-benar mengesahkan sama ada keadaan Anwar telah kembali pulih daripada menghalangnya melakukan aksi seks.
Seorang lagi saksi pembela, pakar DNA Dr Brian McDonald pula disifatkan sebagai "flip flop" dalam memberi keterangan dan merupakan "pakar yang dibayar" untuk menyokong kes pembelaan,.
Manakala keterangan pakar forensik, Dr David Wells pula berkecuali yang terbaik.
Yusof juga berkata keterangan Anwar dari kandang tertuduh ketika dipanggil membela diri adalah penafian semata-mata serta gagal menggugat bukti pendakwaan.
Katanya, adalah jelas sama sekali pihak pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan pada penutupan kes pembelaan.
Menurut beliau, Anwar dalam keterangan dari kandang tertuduh tidak memberi versinya mengenai dakwaan insiden itu bagi mematahkan keterangan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang menjadi pengadu dalam kes itu.
Katanya adalah penting untuk diambil perhatian bahawa tertuduh selain penafian mutlak mempunyai hubungan seksual dengan pengadu, tertuduh tidak sama sekali mempertikaikan bukti pihak pendakwaan.
Mohamed Yusof berkata Anwar dalam kenyataannya juga tidak sama sekali menafikan bahawa beliau berada di tempat yang didakwa berlaku kejadian itu pada masa dan tarikh tersebut.
No comments
Post a Comment