Hasan Ali Tibai HARAKAH Tapi Puji UTUSAN
Media pro-Umno lebih daripada Harakah, jelas Hasan Ali
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 24 Dis — Bekas perusuhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali menegaskan tidak wujud sama sekali istilah media Umno atau media musuh sambil menyifatkan akhbar rasmi milik parti Islam itu bersifat berat sebelah dalam menyiarkan laporan.
Malah Hasan juga berkata media dalam negara tidak memberi liputan negatif kepada parti dan dirinya termasuk ketika menyiarkan laporan berhubung polemik yang berlaku baru-baru ini.
“Bagi saya, tak ada yang dinamakan media Umno. Memanglah sebab kerajaan berkuasa, perkara kena rujuk kerajaan. Dan Umno sebahagian dari kerajaan. Sebab itu timbul media Umno. Saya sebenarnya pada asasnya, saya terima mana-mana media pun.
“Bagi saya, siapa yang dapat menyebar luas dan meletakkan berita ke pangkuan masyarakat luas, jadi ia pilihan saya. Saya tak nampak selama ini media memainkan peranan negatif kepada parti dan saya dalam konteks kontroversi ini,” katanya pada sidang media di sini.
Hasan sebelum ini muncul di Utusan Malaysia dan program yang disiarkan TV3 iaitu Soal Jawab — sesuatu yang dianggap tidak biasa diberikan kepada pemimpin pembangkang di negara ini.
Menurut Hasan beliau menganggap media lain lebih mudah dan memberikan liputan yang lebih baik berbanding organ partinya, Harakah.
Beliau turut mendedahkan Harakah melebihkan liputan terhadap golongan tertentu di dalam parti lantaran penguasaan yang diberikan terhadap lidah rasmi parti tersebut.
Hasan mengambil contoh wawancara Harakah bersama Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din berhubung isu gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang masih belum disiarkan sehingga kini kerana kepentingan pihak tertentu.
“Tetapi mungkin atas arahan pihak berkuasa dalam parti, didapati temuramah Datuk Harun din tidak tersiar sampai sekarang. Bayangkan kalau Haron Din tak tersiar bagaimana orang kecil seperti Hasan Ali?” kata beliau.
Justeru Hasan mencadangkan agar Harakah melakukan transformasi besar-besaran agar ia boleh diterima semua lapisan masyarakat.
“Kalau kepimpinan media baru diterajui oleh orang-orang lama. Sesetengahnya telah memimpin PAS selama lebib 20 tahun, tak berubah dan tak beralih, sudah tentulah saya merasakan perlu (berubah),” katanya.
No comments
Post a Comment