Isu Ustaz Budak. Umno dan Perkasa Separa Jantan

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap isu rakaman video berkaitan ceramah Ustaz Shamsul Zaman Sukri atau lebih dikenali dengan ‘Ustaz Budak’ yang didakwa kononnya menyamakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dengan Nabi. Isu ini telah dilaporkan secara besar-besaran oleh media massa milik UMNO sepanjang minggu lepas. Beberapa pemimpin UMNO Kelantan dan Pusat dilaporkan telah mengecam PAS dan YAB Menteri Besar Kelantan di atas rakaman video ini.

2. Selain itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Kelantan (PERKASA) juga dilaporkan telah menghantar memorandum menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyiasat Tindakan PERKASA ini dilaporkan di muka hadapan Sinar Harian Edisi Kelantan pada 13 Disember 2011.

3. DPPNK menyifatkan bahawa UMNO dan juga PERKASA yang jelas merupakan pertubuhan pro UMNO kehabisan isu sehingga sanggup memainkan semula video yang dirakam bertahun lamanya untuk menyerang keperibadian YAB Menteri Besar Kelantan. Demikian juga dengan media massa pro kerajaan yang memainkan isu ini secara besar-besaran jelas sekali menyedari bahawa mereka tidak mempunyai sebarang isu yang lebih besar untuk menghakis kepercayaan rakyat khususnya di Kelantan terhadap PAS.

4. DPPNK mencabar UMNO dan PERKASA agar mendengar sendiri rakaman tersebut dari awal sampai ke akhir tanpa pengubahsuaian untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang dimaksudkan oleh Shamsul Zaman. Hakikatnya, jika didengar dengan teliti tanpa sebarang bias, jelas sekali bahawa beliau tidak bermaksud untuk menyamakan Menteri Besar Kelantan dengan Nabi.

5. Apa yang menghairankan, di mana UMNO dan PERKASA dalam isu klip video Sembang Rakyat yang berjudul Lagi Hudud PAS yang mencetuskan kontroversi sekarang ini? Kenapa akhbar media massa milik UMNO tidak menyiarkan di muka hadapan kecaman terhadap video ini yang lebih jelas menuturkan skrip yang menghina perundangan Islam dan menghina kaum wanita Kelantan yang didakwa terlibat dengan pusat hiburan dan pelacuran di Kuala Lumpur? Di mana kejantanan PERKASA dalam isu video ini atau PERKASA hanya jantan dalam isu tertentu sahaja dan tidak jantan dalam isu yang lain?

6. Sewajarnya UMNO dan PERKASA bersama-sama menggesa agar diambil tindakan tegas terhadap pelakon, penerbit dan penaja klip video berkenaan jika benar mereka sayangkan agama. Hakikatnya, diyakini bahawa UMNO semakin gelabah apabila YAB Tuan Guru Menteri Besar mengumumkan kesediaan untuk bertanding lagi di dalam pilihanraya, justeru mereka mencari-cari isu untuk terus menyerang kredibiliti beliau sehingga tergamak memutarbelitkan video yang telah dirakam bertahun yang lepas.

7. Dalam masa yang sama, DPPNK mencadangkan agar saudara Shamsul Zaman Sukri mengambil tindakan saman terhadap semua pihak yang memutarbelitkan ucapan beliau sehingga mencetuskan kontroversi. Ini kerana tidak ada cara untuk memastikan pihak ini mendapat pengajaran yang setimpal kecuali dengan dibawa ke muka pengadilan.

Sekian, wassalam.

YB ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 14 Disember 2011

No comments

Powered by Blogger.