Najib digesa jelas status ‘cuti’ Pengarah Felda- Dr Syed Husin

(Oleh: Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 14 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa memberikan penjelasan status ‘cuti’ selama lapan bulan Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Wahab sehingga menimbulkan kecurigaan.

Demikian Senator Negara, Dr Syed Husin Ali mengecam tindakan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad mengarahkan Zulkifli bercuti sejak 25 November lalu hingga Ogos 2012.

Arahan itu dibuat melalui surat yang ditandatangani Isa dan dihantar kepada Najib bertarikh 21 November lalu.

“Najib perlu telus memberikan penjelasan yang lengkap kenapa Datuk Zulkifli Wahab diarahkan untuk mengambil cuti belajar selama lapan bulan.

“Tujuan perubahan ini untuk memungkinkan Tan Sri Isa Samad mengambil tindakan meluluskan pelepasan pegangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda dalam Felda Holdings dan merombak pengurusan, ahli lembaga pengarah serta merubah polisi sedia ada bagi menjaga kepentingan ahli koperasi,” kata Syed Husin ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Difahamkan, Zulkifli ‘direhatkan’ selepas beliau berbeza pendapat dengan Isa mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Sdn Bhd ke bursa saham seperti diumum Najib pada pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lalu.

Zulkifli dilaporkan bimbang penyenaraian itu mengakibatkan kerugian peneroka selain pendapatan Felda yang kini RM 2 bilion bakal menjunam kepada RM 508 juta sahaja.

Tambah Syed Husin, langkah untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Berhad di bursa saham hanya taktik kerajaan mengaburi mata rakyat.

“Ia juga untuk menutup mata kakitangan Felda yang menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda dari mengetahui bahawa mereka bakal kehilangan majoriti 55 peratus dalam saham Felda Holdings Bhd.

“Struktur selepas penyenaraian akan menyaksikan penguasaan saham Koperasi Permodalan Felda dalam anak-anak syarikat Felda susut kepada 30 peratus sahaja dan baki 70 peratus lagi ditawarkan kepada pelabur luar,” katanya yang juga mantan Timbalan Presiden KEADILAN.

No comments

Powered by Blogger.