Apabila Agong dan Timbalannya adalah dari negeri PAS

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

RIBUAN rakyat jelata berbaris di sepanjang jalan dari Istana Anak Bukit hinggalah ke Lapangan Terbang Kepala Batas. Rakyat Kedah sangat bangga untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Tuanku Sultan Kedah yang akan menaiki singgahsana takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong kali yang ke-14 pada usia 84 tahun.

Kebanggaan rakyat berganda kerana baginda akan ditabalkan buat kali kedua dalam sejarah kehidupannya. Kali pertama baginda memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ialah pada tahun 1970 hingga 1975.

Sebaik kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengambil alih Kedah pada 2008, negeri Jelapang Padi ini meraikan sambutan Jubli Emas pemerintahan baginda.

Semua upacara istiadat sambutan dikepalai oleh Menteri Besar daripada PAS. Kini, sewaktu baginda Sultan berangkat ke Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong pun Menteri Besarnya masih daripada PAS. Allah yang mengatur bahawa segala catatan gemilang baginda berlaku pada masa Pakatan Rakyat.

Tunku Abdul Halim adalah Sultan yang istimewa di mata rakyat, bukan hanya di Kedah tetapi di Malaysia. Baginda benarbenar seorang raja yang dilihat tidak mencampuri urusan politik rakyat.

Kerajaan negeri Perak yang dipilih secara sah oleh majoriti rakyat tetapi krisis politik yang berlaku sehingga tercetus ungkapan ‘sembah derhaka’ apabila keputusan Istana tidak disenangi oleh pihak yang digulingkan secara tidak demokratik. Ada peristiwa kontroversi di mana rakyat berbaring di atas jalan menghalang perjalanan Sultan ke istana.

Di Selangor satu demi kenyataan pihak istana ‘berjaya’ dimanipulasi oleh BN bagi menggambarkan bahawa dalam keadaan tertentu pihak istana dan kerajaan negeri macam tidak sebulu. Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor, menyerlahkan perbezaan tersebut.

Kelantan, suatu masa dahulu sewaktu Sultan yang ada kini belum menaiki takhta terdapat juga isu-isu tertentu yang boleh dimanipulasi oleh BN bagi menggambarkan kononnya pentadbiran kerajaan dan istana tidak sehaluan.

Di Kedah, kebijaksanaan sikap Tuanku Sultan menyebabkan tiada isu yang boleh digunakan oleh pihak pembangkang (BN) bagi mengeruhkan hubungan antara kerajaan dan istana. Kali pertama Ustaz Azizan diserang adalah isu yang berkaitan kononnya Menteri Besar itu menderhaka kerana menggunakan payung kuning istana, walhal payung kuning tersebut adalah milik sebuah syarikat minyak. Dikhabarkan apabila baginda dimaklumkan mengenai isu payung kuning tersebut, baginda hanya tersenyum.

Kali kedua, Pemuda Umno Kedah menghantar memorandum kepada Sultan Kedah kerana kononnya seorang Exco kerajaan negeri telah menderhaka kepada baginda dengan mengeluarkan kata-kata tidak sopan. Sumber maklumatnya hanyalah berdasarkan sehelai surat layang yang tidak diketahui siapa menulisnya. Ironinya, sejurus selepas Exco berkenaan diserang, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato’ oleh Tuanku Sultan.

Tidak pernah pemimpin PAS sewaktu jadi pembangkang menerima anugerah yang membawa gelaran Dato’ melainkan berlaku pada Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang menerimanya sewaktu menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri. Hanya Sultan Kedah yang berjiwa besar yang bersedia memberi anugerah seumpama itu kepada individu pembangkang.

Bagi baginda semua rakyat Kedah adalah rakyat baginda juga yang tidak harus dibezakan kerana perbezaan politik parti yang memerintah.

Sewaktu sebahagian besar rakyat Malaysia terpengaruh dengan media BN yang mendakwa Ibrahim Libya dan rakan-rakannya adalah penjenayah, Tuanku Abdul Halim mencemar duli merenjis air mawar di makam 14 syuhada Memali. Jika tidak kerana krisis pindaan perlembagaan 1992 (di mana Umno telah membuang kuasa raja-raja) Sultan Kedah telah berangkat ke majlis ihtifal Madrasah Islahiah Diniah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Libya. Keberangkatannya ke madrasah tersebut seperti dijadualkan dibatalkan pada saat akhir.

Apabila Sultan Kedah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, timbalan baginda ialah Tengku Faris Petra iaitu Sultan bagi negeri Kelantan. Tengku Faris juga seorang yang sangat hebat di mata rakyat. Baginda boleh mengimamkan solat jemaah dan melakukan sembelihan korban dengan tangannya sendiri. Hampir tidak pernah dilihat seorang raja yang berketayap dan berjubah, melainkan Sultan Kelantan.

Kehadiran Tengku Faris di atas takhta turut dapat menamatkan cubaan BN untuk memanipulasi apa-apa isu berkaitan hubungan kerajaan negeri dan istana.

Apa yang lebih istimewa mengenai perencanaan Allah SWT di sebalik pelantikan Yang di- Pertuan Agong dan Timbalannya itu ialah baginda berdua adalah dari dua buah negeri yang ditadbir oleh PAS atau Pakatan Rakyat. Inilah kali pertama ia berlaku dalam sejarah Malaysia.

Sekarang satu Malaysia sedang bergelut dalam pertarungan terbesar politik yang bakal berlaku tahun hadapan, iaitu pilihan raya umum ke-13. Apakah kebetulan di sebalik pelantikan dua orang Sultan dari dua buah negeri di bawah pentadbiran PAS atau Pakatan itu memberi petunjuk bahawa calon daripada Pakatan Rakyat yang akan mengisi jawatan Perdana Menteri selepas PRU13 nanti? Hanya Allah yang Maha Mengetahui kerana Dialah yang merencanakan segalanya.

1 comment

TaTJ said...

Manusia merancang dan Allah juga merancang dan sebaik2 perancangan adalah daripada Allah S.W.T...Allahuakhbar!

Powered by Blogger.