Rosmah sebagai penentu PRU ke-13?
SHAH ALAM, 14 DIS – Adakah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, akan menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya umum akan datang?
Sama ada berseloroh atau serius, soalan itu telah dibangkitkan oleh seorang hadirin wacana ‘PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu’ anjuran Sinar Harian di sini semalam yang panas dengan idea dan cadangan para pembicara.
Mereka yang menyertai wacana itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden KITA Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah dari Universiti Malaya. Moderator wacana ialah Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa.
Menjawab persoalan itu, tokoh politik Datuk Zaid Ibrahim yang juga Presiden KITA berkata, demi kebaikan Malaysia, rakyat yang tidak berada dalam lingkungan politik tidak sepatutnya terpengaruh dengan gosip-gosip sebegitu.
“Sama ada Rosmah jadi penentu PRU13, saya sebenarnya merasakan dia ada memainkan peranan penting.
“Tetapi saya rasa eloklah buat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), bukan sahaja Rosmah malah Tun Mahathir Mohamad pun janganlah masuk campur. Kalau dah berhenti, berhentilah.
“Inilah masalah parti pemerintah yang memerintah terlalu lama yang merasakan seolah-olah perlu dinasihati, perlu menjaga hati, perlu menjaga itu, ini… Sampai bila?” katanya.
Jelas Zaid yang sebelum ini seorang menteri kerajaan persekutuan dan kemudian menyertai PKR sebelum meninggalkannya untuk menubuhkan KITA, jika Najib serius dengan reformasi, perkara yang lama sepatutnya ditinggalkan sahaja.
Namun, katanya, apa yang rakyat lihat adalah wujudnya kuasa-kuasa di belakang tabir yang memainkan peranan dalam politik tanah air yang semakin dibenci oleh orang ramai.
Dr Abu Hassan pula berkata, jika seseorang itu terbukti telah menyalahgunakan duit rakyat, maka rakyatlah yang berhak untuk menumbangkan mereka dalam PRU13.
“Tidak kira dia isteri Perdana Menteri, anak Perdana Menteri dan sebagainya, seandainya benarlah mereka telah menggunakan duit negara yang sepatutnya digunakan untuk rakyat, termasuk untuk membaiki sistem pengangkutan awam kita yang teruk ini, maka mereka harus ditentang, harus dijatuhkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, rakyat boleh melakukan perubahan untuk mengubah indeks kebebasan, demokrasi dan rasuah negara.
“Mengapa kita harus sayang pada parti yang tidak mampu melakukan janji yang mereka katakan. Jika mereka tak dapat lakukan janji itu, kita harus tukar dan beri pada yang lain.
“Kita tidak perlu bimbang jika mana-mana parti akan jatuh untuk digantikan dengan yang lain kerana ia adalah proses membina sebuah tamadun,” tambah beliau.
Nurul Izzah pula mahu Najib menjamin pilihan raya yang bersih, malah menjelaskan PKR sanggup menerima apa sahaja keputusan jika proses pilihan raya yang benar-benar adil dan bersih dilaksanakan.
Malah, beliau mencabar Perdana Menteri menterjemahkan slogan 1Malaysianya dengan bertanding di kerusi Parlimen yang majmuk seperti Parlimen Lembah Pantai yang diwakilinya dalam PRU 2008.
“Kerusi (yang diwakli Najib sekarang) di Parlimen Pekan adalah 93 peratus pengundi Melayu. Jika benar Najib adalah pemimpin untuk semua kaum, sila bertanding di Lembah Pantai,” ujarnya.
Saifuddin pula yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional dilihat tertekan dalam wacanan itu kerana bersikap defensif dalam usaha mempertahankan parti dan kerajaan yang diwakilinya.
Walau pun bersetuju dengan beberapa pandangan pemimpin Pakatan dalam wacana tersebut, beliau tetap mempertahankan kepimpinan Najib dan menonjolkan keyakinannya bahawa BN akan menang besar dalam PRU13.
“Bagi saya, pengundi yang mengundi pembangkang dalam PRU yang lalu akan kembali menyokong BN manakala yang telah memilih BN akan kekal dengan BN dan pengundi-pengundi baru pula akan mengundi BN,” jelasnya.
Menurutnya, mereka menyokong usaha transformasi Najib yang kononnya sedang membuat perubahan baik untuk rakyat. – Roketkini.com
No comments
Post a Comment