Kenyataan akhbar berkaitan permohonan MyKad anak Dr. Juanda Jaya — Dato Jariah Mohd Said


25 DIS —Prosedur Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah jelas berhubung dengan Tatacara Pengendalian Permohonan Kad Pengenalan Kanak-Kanak 12 Tahun yang mempunyai masalah Taraf Kewarganegaraan berkuatkuasa pada 11 Jun 2009 bagi perkahwinan di antara lelaki bertaraf warganegara Malaysia dengan wanita bertaraf warganegara asing. Menurut prosedur ini, ibu atau bapa hanya perlu mengemukakan salinan ‘sijil nikah’ atau ‘sijil kahwin’ sekali sahaja untuk permohonan kali pertama bagi tujuan pengesahan status sebelum kad pengenalan dikeluarkan. Ketetapan keperluan ini bagi kes-kes seumpama sedemikian adalah perlu bagi tujuan penentuan/pengesahan taraf kewarganegaraan anak.

2. Seperti kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam yang dilaporkan hari ini (25 Disember 2011), isu yang timbul berhubung kait dengan kakitangan kaunter yang tidak merujuk kepada pegawai atasan bagi kes yang meragukan. Bagaimanapun, kad pengenalan pemohon, Sumaiyah Syahidah, anak kedua Dr. Juanda Jaya telah pun siap untuk serahan dan sedia untuk kutipan di Pejabat JPN Kuching pada hari bekerja.

3. Pengurusan JPN telah mengenal pasti masalah yang berbangkit dan segala usaha memperbaiki kelemahan telah diambil supaya semua pegawai bertugas di bahagian kaunter dapat melaksanakan tugas secara profesional dan sentiasa bersikap membantu pelanggan berurusan dengan JPN.

4. Sehubungan dengan itu, JPN memohon maaf di atas segala masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh Dr. Juanda Jaya ketika berurusan di kaunter JPN Kuching, Sarawak ekoran daripada kelemahan kakitangan kaunter dalam menerangkan prosedur Jabatan. Sesungguhnya, Jabatan ini tidak sesekali bermaksud untuk menafikan hak serta status kewarganegaraan anak beliau sebagai warganegara Malaysia.

* Dato Jariah Mohd Said is the Director of The National Registration Department

No comments

Powered by Blogger.