AMK lancarkan kempen Bebas Anwar 901
KUALA LUMPUR 16 Dis: Angkatan Muda KEADILAN (AMK), menggerakkan kempen besar-besaran dalam usaha untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan fitnah II.
Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, kempen dinamakan #BebasAnwar901 itu dimulakan secara maya di laman ‘Twitter’ bagi menghimpunkan seramai mungkin sokongan untuk menuntut pembebasan terhadap Anwar.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan keputusan terhadap Anwar pada 9 Januari depan.
“Kita ingin mengumpulkan seramai yang mungkin mereka yang membantah usaha kerajaan ingin memenjarakan Anwar berkenaan dengan kes tersebut, yang mana kita lihat segala percaturan untuk memasukan beliau ke dalam penjara sudah dirancang dari awal lagi.
“Melalui kempen ini saya pasti rakyat akan datang memberi sokongan kepada Anwar pada hari keputusan itu nanti.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat tidak kira berada di mana pun tanpa mengira kedudukan mahupun kaum turut dalam kempen tersebut dan hadir memberi sokongan kepada Anwar pada 9 Januari nanti,” katanya.
Perbicaraan terhadap Anwar yang memakan masa hampir dua tahun, mendedahkan konspirasi terhadap ketua pembangkang itu.
Pada penggulungan hujah Isnin lalu, peguam Anwar menegaskan pendakwa raya gagal membuktikan fitnah liwat walaupun cuba mensabitkan Anwar sebagai pemilik DNA lelaki Y yang ditemui pada tubuh Saiful.
Karpal Singh juga berkata, pendakwa raya gagal membuktikan sumber asal DNA lelaki Y ialah dari sperma Anwar berdasarkan keterangan pakar DNA antarabangsa, Dr Brian Mc Donald.
Manakala keterangan pakar tulang belakang, Dr Thomas Hoogland membuktikan Saiful berbohong diliwat Anwar.
Dr Thomas yang merawat Anwar sejak 2001 juga mengesahkan Ketua Pembangkang itu tidak mampu melakukan aksi fitnah tersebut akibat kecederaan tulang belakang.
Selain itu, perbicaraan kes itu juga tercemar dengan hubungan sulit antara Saiful dan bekas Timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif.
Menurut Karpal, kedua mereka perlu dipanggil semula di bawah sekseyn 425 Kanun Keseksaan kerana belum menafikan hubungan antara mereka berdua.
No comments
Post a Comment