Kenyataan Akhbar YB Dato Dr. Hasan Mohamed Ali

KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR. HASAN MOHAMED ALI

"Saya terpanggil untuk memberi ulasan mengenai dua perkara penting yang dipapar dan dimainkan di dalam media massa kebelakangan ini.Pertama, perkara mengenai penyatuan umat Islam dan Melayu seperti yang terkandung dalam salah satu akhbar media perdana.

Kedua, masalah kononnya saya digugurkan menjadi calon Dun Gombak Setia dalam PRU 13 atas dasar saya kekurangan pencalonan daripada cawangan-cawangan PAS.

Mengenai perkara yang pertama, ingin saya tegaskan di sini bahawa perpaduan dikalangan umat Islam memang merupakan tunjang perjuangan saya sebagai seorang Muslim yang beriman dengan tuntutan AlQuran dan Assunnah. Soal perpaduan ini merupakan salah satu elemen Siyasah Syar’iyyah yang saya jiwai dan cuba cernakan semenjak saya berkhidmat sebagai pegawai kerajan, sebagai motivator dan juga bila saya berkecimpung dalam dunia politik. Malah penerjunan saya ke dalam kancah politik sebahagian besarnya dipacu oleh tuntutan perpaduan ini.

Seandainya saya dilihat sebagai pemangkin kepada tercetusnya perpaduan sejati dikalangan umat Islam maka di atas dasar kesungguhan untuk menjayakan perjuangan ini, saya bersedia untuk melaksanakan peranan merealisasikan perpaduan di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu tanpa mengira golongan mahupun wadah.

Manakala dalam isu kedua yang mengatakan saya tidak mendapat pencalonan mencukupi daripada PAS Cawangan dan Kawasan Gombak untuk bertanding di DUN Gombak Setia, saya sama sekali tidak menyalahkan YB Saari Sungip dalam hal ini. Mungkin beliau mempunyai niat yang baik apabila memilih untuk mendedahkan perkara ini kepada pihak media secara terbuka.

Cuma saya ingin menjelaskan beberapa perkara untuk mengelak kekeliruan berterusan.

1. Setakat yang saya ketahui memang pencalonan daripada cawangan-cawangan di ambil kira dalam menentukan pencalonan. Tetapi ada ketikanya faktor ini tidak menjadi faktor penentu kerana wujudnya pertimbangan-pertimbangan yang lain. Sebagai contoh saya sendiri ditunjuk untuk bertanding di DUN Gombak Setia pada PRU ke 12 bukan atas dasar pencalonan daripada cawangan-cawangan. Setakat yang saya ingat juga, Ketua Penerangan PAS Negeri sekarang ini yang bertanding di DUN Ulu Kelang juga tidak mengikuti proses penerimaan pencalonan daripada cawangan-cawangan di Ulu Kelang dalam PRU ke 12 yang lalu.

2. Dalam amalan biasa parti, hal-hal mengenai pencalonan perlu diputuskan oleh PAS Pusat setelah melalui proses penilaian oleh Majlis Syura Ulama. Adalah tidak sesuai sekiranya mana-mana individu bertindak untuk mendahului pimpinan tertinggi parti dalam hal ini. Saya berharap pimpinan tertinggi parti dapat memantau ahli dan pimpinan di berbagai peringkat agar tidak membuat sebarang kenyataan yang mendahului pimpinan tertinggi parti demi menjaga keutuhan dan wibawa parti.

3. Saya juga musykil dengan kenyataan yang dikeluarkan mengenai pencalonan ini lantaran ianya disebarkan melalui media bertepatan dengan suasana dan keadaan di mana seorang pemimpin PAS menerima pengiktirafan dan perhargaan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Saya khuatir pelbagai kesimpulan dan andaian boleh dibuat berikutan dengan wujudnya satu kebetulan ini.

Sebagai kesimpulan, sukacita saya maklumkan pendirian saya tidak pernah berubah dalam hal mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja. Samada saya di calon atau tidak, itu tidak menjadi halangan bagi saya bahkan isu ini menjadikan semangat saya lebih kental untuk terus berjuang. Saya yakin ramai yang memahami, menjiwai dan akan terus bersama-sama dengan saya untuk meneruskan agenda perjuangan ini.

InsyaAllah dengan izin Allah SWT saya akan terus beristiqamah di atas landasan ini dan sentiasa berdoa kepada Alah SWT agar saya dan teman-teman sering berada di jalan yang lurus.

YB Dato Dr. Hasan Mohamed Ali

Tarikh : 12 DISEMBER, 2011

1 comment

tungkaran hati.blogspot said...

Semakin lama semakin menyerlah perjuangan PAS kini yang semakin tersasar dari perjuangan asalnya...dan yang paling mengguris hati sebahagian penyokongnya adalah kerana PAS sanggup menjadi pecacai kepada DAP semata2 untuk secebis kuasa...!

Powered by Blogger.