Anwar: Rakyat Malaysia makin miskin menjelang 2020
KUALA LUMPUR 15 Dis: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran Malaysia akan bertambah miskin pada 2020, dengan tambahan 1.7 juta rakyat berpendapatan bawah RM1,500, di bawah Program Tranformasi Ekonomi (ETP).
Menurut Anwar, idea yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu juga akan melebarkan jurang pendapatan masyarakat berdasarkan unjuran ETP.
Penasihat ekonomi Selangor itu berkata demikian dalam ucap utamanya dalam majlis makan malam anjuran kerajaan negeri di sebuah hotel di sini malam tadi.
Anwar yang juga bekas menteri kewangan mempersoalkan andaian penting ETP bahawa rakyat Malaysia akan mendapat pendapatan negara kasar (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 pada tahun 2020.
Menurut Anwar, pertambahan 3.6 peratus pendapatan tahunan dijangka dari 2010 hingga 2020 terlalu optimis kerana peningkatan purata cuma 2.6 peratus setahun dalam tempoh sepuluh tahun, berdasarkan Kementerian Sumber Manusia.
Peningkatan pendapatan sebenar dari 1984 sehingga 1997 dalam bidang pengilangan dan peladangan hanya masing-masing 2.3 dan 2.8 peratus, menurut Bank Pembangunan Asia, lapor Malaysiakini.
Sementara itu, Tv Selangor melaporkan, kesan pemborosan, salah urus dan ketirisan kerajaan mengakibatkan hampir 70 peratus generasi muda di bawah umur 25 tahun tiada pekerjaaan.
Menurut Anwar, tanggungjawab pemerintah bukan sekadar mewujudkan ruang pendidikan yang baik dan sempurna tetapi menyediakan peluang pekerjaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Lebih dari 342,198 golongan tidak bekerja telah mendaftar dengan Kementerian Sumber Manusia setakat Ogos 2011, manakala 69.1 peratus adalah dibawah 25 tahun.
“Kalau dimasukkan mereka yang berumur 30 tahun pula nilainya hampir 90.1 peratus. Dan 51.4 peratus dari golongan ini adalah bekas graduan yang sekurang-kurangnya pemegang diploma,” kata Anwar sambil menambah angka tersebut hanya melibatkan di kalangan mereka yang berdaftar.
Katanya lagi dalam bancian pada 2009 yang mengambil maklumat dari 24,000 majikan dengan 1.3 juta pekerja mendapati 33.8 peratus memperoleh pendapatan di bawah RM700 sebulan.
Berdasarkan angka tersebut menunjukkan hampir 34 peratus dari pekerja di negara ini mempunyai pendapatan di bawah paras kemiskinan.
Sehubungan itu katanya usaha Pakatan Rakyat memperuntukan gaji minima RM 1,500 sebulan sebagaimana tercatat dalam Buku Jingga bertujuan membebaskan golongan pekerja dari belenggu kemiskinan.
No comments
Post a Comment