Fitnah II: Tuduhan pendakwa raya tak berasas, kelirukan mahkamah
( Oleh : Ahmad Fadli )
KUALA LUMPUR 13 Dis: Peguam Sankara Nair berkata, pendakwa raya kes Fitnah II masih gagal membuktikan tuduhan mereka terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, kata Sankara, pendakwa raya memilih untuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap saksi pakar pembelaan dan mengelirukan mahkamah.
“Mereka masih belum memenuhi beban pembuktian yang terletak di atas bahu mereka.
“Mereka buat beberapa tuduhan terhadap saksi pakar kita dan mengelirukan mahkamah.
“Itu tidak betul dan kita akan bidas hari Khamis ini,” kata Sankara sejurus mahkamah ditangguhkan sebentar tadi.
Perbicaraan Fitnah II kini memasuki peringkat penggulungan hujah.
Semalam, ketiga-tiga peguam Anwar termasuk Karpal Singh dan Ramkarpal Singh menggulung hujah mereka.
Hari ini pula adalah giliran pasukan pendakwa raya diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menggulung hujah mereka.
Sankara sewaktu ditanya tentang perjalanan kes setakat penggulungan ini berkata, setakat ini pasukan peguam bela berjaya membuktikan fitnah terhadap Anwar tidak pernah berlaku.
“Kita rasa kita memang ada kes dalam mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hujah kami kuat dan kami buktikan kejadian itu tidak pernah berlaku.
“Itu pendirian kita dan tohmahan yang dilemparkan tak pernah berlaku.
“Ini semua satu konspirasi dan kami tetap tegas dengan pendirian kami,” kata Sankara penuh yakin.
Selesai penggulungan petang tadi, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Khamis, 15 Disember jam 930 pagi sebagai tarikh untuk peguam bela membentangkan bidasan kepada hujah.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24312
No comments
Post a Comment