PSC Harus Menimbang Secara Menyeluruh Tuntutan BERSIH

KENYATAAN MEDIA
30 DISEMBER 2011
UNTUK EDARAN SEGERA

Saya mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Untuk Menambahbaik Pilihan Raya (PSC) semalam yang mengumumkan pindaan ke atas peraturan pilihan raya bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya menjelang 1 Februari 2012. Namun demikian, perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya.

Merujuk kepada senarai tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), saya percaya demokrasi dan proses pilihan raya bebas dan adil sewajarnya turut didukung dengan amalan serta pendekatan yang menjurus kepada kebebasan media dan kempen terbuka. Agensi media awam seperti RTM dan BERNAMA sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara.

Saya juga ulangi desakan agar tempoh masa kempen pilihan raya dilanjutkan dalam memastikan sebaran maklumat sepanjang tempoh berkempen dapat dicapai oleh segenap lapisan rakyat. Tempoh masa berkempen yang terlalu singkat – 10 hari – sepertimana yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru sewajarnya tidak berulang.

Manakala pengawasan terhadap komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu dijamin menerusi pengukuhan badan kehakiman yang lebih bebas dan adil. Justeru, Pakatan Rakyat komited dan menuntut supaya pihak PSC turut menumpukan penambahbaikan proses pilihan raya ini dengan mengkaji serta menimbang secara menyeluruh ke semua tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH dalam menjamin pilihan raya yang bebas, telus dan adil.

ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.