Pengurus Celcom cawangan Kota Bharu tidak Profesional
Merupakan email yang dihantar ke Admin Kerabu Bersuara.
Aduan saya ini adalah bertujuan untuk meningkatkan prestasi staf Celcom bagi cawangan Kelantan yang beralamat di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan. Pada 12hb Disember 2011 yang lepas saya telah ke cawangan Celcom ini untuk membuat tempahan awal bagi telefon model i Phone 4S 32G White dan telah membayar RM200 sebagai yuran tempahan. Saya diberitahu bahawa pihak cawangan akan menelefon saya sekiranya stok telefon berkenaan telah sampai dan pada 18hb Disember 2011 saya telah menerima panggilan mengatakan telefon yang saya tempah itu boleh diambil. Oleh kerana terikat dengan waktu kerja pada tarikh 18hb Disember 2011, saya telah memberitahu bahawa saya akan datang mengambilnya pada keesokan hari, iaitu pada 19hb Disember 2011 dan saya diberitahu bahawa saya boleh berbuat demikian.
Pada 19hb Disember 2011, saya telah pergi ke cawangan Celcom tersebut dan telah bercakap dengan staf kaunter bernama, Rosmarini Salizan Mustafa. Apa yang membuatkan saya tidak berpuas hati ialah selepas menunggu hampir setengah jam saya diberitahu bahawa stok telefon yang saya tempah lebih dari seminggu telah habis. Malangnya bagi pihak mereka, saya terlepas dengar perbualan antara staf tadi dengan seorang lagi rakannya, dipercayai staf bertanggungjawab untuk menjaga stok telefon yang mengatakan stok iPhone 4s sudah habis dan telefon yang warna putih pula telah diambil oleh pengurus cawangan sedangkan beliau sebenarnya sebelum itu telah menempah yang berwarna hitam. Kata staf tersebut lagi dalam perbualannya bahawa alasannya hanya kerana ’bos suka yang warna putih!’.
Saya meminta untuk berjumpa dengan pengurus cawangan berkenaan, tetapi selepas stafnya keluar dari salah satu bilik untuk menanyakan katanya, barulah keluar cerita mengatakan ’Bos cuti hari ini!’ sedangkan sebelum itu staf tersebut meminta saya menunggu untuk berbincang dengan ’bos’. Staf berkenaan seterusnya memberitahu saya bahawa mereka boleh mengambil stok telefon yang saya tempah dari cawangan Kemaman, Terengganu. Saya menolak dengan alasan perbuatan mereka sememangnya tidak profesional dan saya seharusnya tidak perlu menunggu lagi kerana kehadiran saya adalah dengan temu janji.
Saya meminta mereka memulangkan yuran tempahan sebanyak RM200. Lagipun dengan banyak dalihan yang diberikan dan pengurus cawangannya sendiri yang bernama Amir bin Abdul Majid, tidak boleh tampil ke hadapan untuk berbincang dengan cara yang baik; saya mempunyai alasan untuk tidak mempercayai kata-kata mereka, risau takut-takut diberikan telefon yang ’second-hand’. Saya berasa benar-benar tidak berpuas hati. Saya bertanyakan sekiranya ada borang aduan untuk saya buat aduan. Tetapi staf tersebut hanya menjawab tiada dan oleh kerana itu, saya mengambil catit nama staf tersebut dan nama pengurus cawangan terbabit.
Seterusnya saya terpaksa beredar dengan perasaan hampa kerana saya juga terikat dengan waktu kerja. Selepas itu saya menerima panggilan dari pengurus cawangan, Amir bin Abdul Majid yang bertanyakan saya dengan soalan yang membentak berbunyi ’sebenarnya apa masalah awak ni??!!’. Seperti kata staf tadi stok telefon berkenaan telah habis di cawangan tersebut, tetapi mengikut kata pengurus cawangan beliau boleh memberikan telefon itu pada hari itu juga. Saya beranggapan dengan situasi, jawapan dan layanan yang saya terima tadi, Encik Amir sebenarnya menawarkan telefon yang diambil dan telah dipakai olehnya. Beliau ada bertanyakan bila mahu berjumpa untuk menyelesaikan masalah dan saya mengatakan masa saya pada hari itu hanya selepas jam 5 petang oleh kerana saya telahpun meluangkan masa rehat saya pada hari tersebut ,dan beliau dengan cepatnya menjawab ’kedai dah tutup masa itu!’.
Seterusnya beliau dengan kasar dan tiada budi bahasa mengatakan sekiranya saya tidak mahu mengmabil i Phone tersebut apa perlunya berjumpa. Saya sebenarnya tidak terkata dengan kasarnya cakap seorang pengurus cawangan yang mewakili imej Celcom di Kota Bharu, Kelantan.
Saya berharap agar aduan ini mendapat perhatian dari pihak berwajib di ibu pejabat Celcom. Sekiranya seperti ini staf-staf di cawangan Celcom, sesiapa pun tidak akan melihat masa depan yang cerah untuk rangkaian telefon ini. Saya sebagai sebahagian dari golongan profesional melihat bahawa tidak ada faedah untuk sesuatu organisasi itu untuk menggaji kakitangan yang tidak ada budi bahasa dan tidak bertanggungjawab sedangkan Celcom adalah sebuah syarikat yang mana salah satu asas utamanya ialah untuk memberi perkhidmatan terbaik dan layanan mesra kepada pelanggan. Sekiranya sesiapa yang menghadapi situasi seperti di atas, lama-kelamaan pelanggan tidak akan ada rasa percaya lagi kepada Celcom.
No comments
Post a Comment