DAP tidak kejar jawatan MB Selangor, tegas Pakatan

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

SHAH ALAM, 20 Dis — Pakatan Rakyat meletakkan noktah ke atas spekulasi kononnya DAP menyasarkan jawatan Menteri Besar Selangor, sebaliknya mengecam Umno sengaja menimbulkan isu itu untuk mewujudkan perpecahan dalam perikatan itu.

Pada sidang media bersama di sini hari ini, Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok, Pesuruhjaya PAS negeri Dr Abdul Rani Osman dan timbalannya Khalid Samad menegaskan, isu jawatan Menteri Besar tidak timbul dan mereka menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Kami gembira dengan kepimpinan Tan Sri Khalid dan tiada hasrat untuk menukar beliau,” kata Dr Rani.

Jelas beliau, DAP ada mengesyorkan kepada Pakatan Rakyat Selangor bahawa mereka mahu meletakkan lebih ramai calon Melayu di kawasan majoriti Melayu untuk mengikis persepsi bahawa ia parti bukan Melayu.

“PAS dan PKR telah mengatakan bahawa mereka bimbang cadangan ini kemungkinan akan digunakan oleh Umno untuk menyerang Pakatan Rakyat.

“DAP pula akan dituduh gila kuasa manakala PKR, PAS akan dituduh mengabaikan kaum mereka,” kata Dr Rani lagi.

Kok berkata, mustahil bagi DAP untuk meletakkan calonnya sebagai Menteri Besar di Selangor atas alasan pihaknya parti yang mempunyai perwakilan kecil di Dewan Undangan Negeri.

Khalid berkata, DAP dan PAS sedang bekerjasama untuk mengatasi stereotaip yang dimainkan oleh Umno.

“DAP membantu PAS keluar dari imej ekstremis. Jika kita mahu menang pilihan raya, PAS perlu keluar dari imej ekstremis, DAP pula dari imej cauvinis,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.