Hasan Ali Puji Cara Pentadbiran MB Selangor

Hasan Ali: Tadbiran Khalid Ibrahim ‘bagus’

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Di sebalik isu digugurkan daripada pencalonan untuk pilihan raya akan datang, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Ali memuji pentadbiran Menteri Besar Selangor dan memberikan tanda ‘baik’ untuk Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia berkata, Khalid telah membawa masuk budaya baru dalam pentadbiran negeri iaitu budaya separa korporat yang mementingkan kesan dan impak kepada rakyat.
“Saya memberikan bagus untuk pentadbiran menteri besar, beliau berjaya mengubah negeri Selangor melalui pentadbiran separa korporatnya,” katanya di sini.

Tambah Hasan, budaya separa korporat mentadbir negeri dan menitik beratkan soal efisiensi dan keberkesanan dalam pentadbiran menjadikan Selangor berupaya untuk mengurangkan kos pentadbiran dan meningkatkan pendapatan negeri sekali gus memberikan kesenangan kepada rakyat.

“Hasil negeri bertambah dan rakyat juga turut merasa kesenangan itu,” katanya.

Jelasnya lagi, memang terdapat sedikit masalah yang timbul dalam pentadbiran antara kerajaan negeri dan kumpulan tertentu seperti ahli perniagaan dan masyarakat berbilang kaum, tetapi perkara itu sedang diperhalusi dan cuba diselesaikan.

“Khalid menitik beratkan soal keadilan dalam pentadbiran, itu menjadikan Selangor mampu berubah daripada waktu ketika pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN) dulu,” katanya lagi.
Menurut Hasan lagi, beliau mengharapkan agar pentadbiran negeri tidak mengabaikan tiga elemen penting yang turut diperjuangkannya iaitu memartabatkan bangsa Melayu, mengagungkan agama Islam, dan dan mendaulatkan institusi raja.

“Saya harapkan kerajaan negeri tidak mengabaikan perkara ini,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.