Perutusan Hari Natal & Tahun Baharu MB : Akui Kepelbagaian Dan Pupuk Persefahaman
SHAH ALAM 25 DISEMBER : Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua penganut Kristian seterusnya Selamat Menyambut Tahun Baharu Masehi kepada seluruh masyarakat.
Beliau berkata, Hari Natal atau Krismas yang disambut pada 25 Disember saban tahun di Malaysia memperlihatkan kemajmukan masyarakat adalah realiti yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, ia menuntut kita semua menyedari dan mengakui kepelbagaian yang ada di samping terus berusaha memupuk persefahaman di kalangan kita.
Dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju, kepelbagaian budaya dan kepercayaan mestilah disantuni dengan aman dan bijaksana. Ia harus digembeling menjadi sumber kekuatan, bukan permusuhan.
“Sambutan Krismas ini juga bermaksud ia disambut menjelang berakhirnya satu tahun Masehi dan bermula satu tahun Masehi yang baharu. Lazimnya, wujud satu keinginan dalam masyarakat untuk memulakan sesuatu yang baharu dengan lebih baik berbanding sebelumnya.
“Justeru, marilah kita bersama menanam tekad dan azam baru untuk berusaha bagi memastikan prinsip hidup bernegara dan bermasyarakat unggul dapat ditegakkan. Ini menuntut kesediaan kita semua belajar dan berkongsi perkara kebaikan dan sensitif kepada kepelbagaian yang ada,” katanya menerusi satu kenyataan.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menambah baik urusan pentadbiran, memastikan keadilan, pertanggungjawaban dan ketelusan dapat dihayati dan menjadi pegangan bersama.
Tambahnya, sepanjang tahun 2011, Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan jumlah simpanan tunai kerajaan, mengekalkan prestasi pelaburan besar, hasil dan penciptaan peluang pekerjaan di negeri ini.
“Marilah kita semua bersama mendoakan pencapaian lebih baik dapat dilakukan pada tahun 2012 dan seterusnya. Saya percaya ruang penambahbaikan itu sentiasa ada,” katanya.
Menteri Besar juga berkata, adalah diharap semua pihak menginsafi bahawa dalam usaha menjadikan kehidupan ini lebih baik, janganlah dilupakan bahawa kita semua hidup dalam realiti pelbagai yang menuntut lebih daripada kepentingan diri sendiri semata-mata.
No comments
Post a Comment