Jentera BN terus putar-belit istilah "Sembah Derhaka" untuk burukkan Nizar



NAMPAKNYA kempen-kempen jentera BN makin ligat memutarkan isu kononnya calon PAS, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin "derhaka" kepada Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sepanjang kempen parti itu di Bukit Gantang.

Serangan terus-terusan terhadap Nizar itu sebagai strategi BN mempengaruhi pengundi Melayu, sedangkan istilah 'sembah derhaka' yang diungkapkan oleh Nizar itu tidak merujuk kepada soal penderhakaan.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr Hassan Ahmad, sebelum ini telah memperjelaskan ungkapan 'sembah derhaka' yang digunakan dalam percakapan istana tidak membawa maksud menderhaka atau menentang perintah seseorang Sultan. Sebaliknya, tegas beliau ia membawa maksud tidak bersetuju atau tidak sependapat dengan sesuatu pandangan atau keputusan sultan.

Hassan yang juga Presiden Yayasan Karyawan, berkata sekiranya seseorang itu menghadap sultan dan menyembah derhaka, ia tidak boleh dianggap sebagai penderhaka kerana ia hanya menyatakan pandangannya yang berbeza dengan sultan.

Dalam kempen BN di Bukit Gantang dan mainan media kuasaan mereka melaporkan kononnya calon PAS itu "menderhaka" apabila enggan melepaskan jawatannya seperti yang dititahkan Sultan Azlan.

Hassan berkata tindakan Nizar itu jelas menunjukkan tindakan 'beradab' beliau terhadap institusi raja dan tidak boleh dianggap penderhaka.

"Itu adalah cara paling beradab Nizar untuk menyatakan perbezaan pandangan beliau terhadap keputusan Sultan, dan bukan membawa maksud menentang dan derhaka. Yang dikatakan derhaka iaitu yang menentang, melawan kuasa, perintah Sultan adalah seperti mengurangkan kuasa raja-raja dalam perlembagaan dan undang-undang," tegas beliau.

Mengulas lanjut perkara itu yang dimanipulasi media dan pimpinan BN itu, Hassan berkata apabila perkara yang dilakukan oleh pihak mereka sendiri (BN) seperti di Kuala Terengganu dahulu yang menentang keputusan Sultan, ia tidak pula dianggap derhaka. Namun, apabila pihak lawan dan musuh mereka, ia dianggap derhaka.

"Nizar secara berdepan dengan Sultan menyatakan percanggahan pandangan beliau, sedangkan di Terengganu, ada pihak yang berdemonstrasi dan menghina sultan secara belakang-belakang. Itu yang boleh dikatakan derhaka," tegas beliau lagi.

Kenyataan tersebut turut disokong tokoh bahasa, Prof Emiritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid yang berpandangan terdapat bahasa istana yang digunakan zaman berzaman bagi rakyat menyampaikan pandangannya yang berlainan atau bertentangan dengan titah Sultan.

Beliau menjelaskan terdapat teks Melayu lama yang boleh dijadikan rujukan bagi kekeliruan yang timbul terutama isu "sembah derhaka" yang diperkatakan umum sejak krisis politik di Perak.

No comments

Powered by Blogger.